Lelaki warga asing diculik, 5 suspek diberkas

0
2

LIMA individu membabitkan tiga warga tempatan dan dua warga asing ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes melarikan seorang lelaki warga asing pada 7 petang, 7 Oktober lalu di Jalan Sentul Indah, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata tangkapan itu susulan laporan polis yang diterima pada Ahad lalu berkenaan kejadian melarikan orang berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati beberapa suspek yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing terbabit dalam kes tersebut.

“Punca kejadian adalah disebabkan mangsa yang berusia 45 tahun dituduh berhutang dengan suspek (warga asing) sebanyak RM25,000.

“Suspek telah meminta wang tebusan sebanyak RM40,000 daripada keluarga mangsa untuk membebaskan mangsa. Walau bagaimanapun wang tebusan diminta belum dibayar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada jam 12.15 tengah hari 9 Oktober lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berjaya menangkap dua lelaki warga asing berusia 34 dan 43 tahun di sebuah rumah kongsi di Seri Kembangan, Selangor.

“Susulan daripada tangkapan itu, polis berjaya menemui mangsa yang telah disorokkan dalam sebuah bangunan berhampiran rumah kongsi terbabit dalam keadaan tangan dan kaki diikat dengan rantai besi.

“Pada 10 Oktober kira-kira jam 7 petang sehingga 9.15 malam polis berjaya membuat tangkapan susulan ke atas seorang lelaki dan dua wanita tempatan di lokasi berasingan di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga tangkapan susulan itu dipercayai turut terbabit dalam kes berkenaan dan polis juga merampas beberapa barang kes yang berkaitan untuk membantu siasatan termasuk kereta yang digunakan untuk melarikan mangsa, enam telefon bimbit, kad bank dan pakaian yang dipakai suspek ketika kejadian.

Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 362 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda.

“Polis Sentul berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh 24 jam selepas ia dilaporkan.

“Dua suspek utama yang juga warga asing direman selama 14 hari, sementara tiga suspek tempatan telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here