KETUA Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berpendapat tanpa penyatuan dan kesatuan pemikiran politik orang Melayu, maka akan sukarlah untuk mewujudkan politik yang stabil dan kukuh.
Beliau berkata, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sudah mengajar mengenai erti kestabilan dan kemakmuran yang perlu dicari.
“Umno dan Pas mempunyai wadah yang sama. Pasca PRU-14, kedua-dua parti ini telah mengenepikan segala sentimen masa lampau dan telah secara bersama menstabilkan semula politik negara.
“Bergerak kehadapan menempuh PRU-15, kita tidak mampu bercakaran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia mengulas mengenai kepentingan kerjasama antara Umno dan Pas diteruskan.
Menurutnya, muafakat Umno dan Pas adalah paksi kepada terbinanya kestabilan dan tercapainya kemakmuran negara.
Muafakat yang digambarkan Annuar itu, kini bagaimanapun seperti tidak dapat diteruskan kedua-dua parti berkenaan dalam menghadapi PRU-15 susulan keputusan yang dibuat kepimpinan Pas hari ini.
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan hari ini, mengumumkan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, sepakat untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam PN untuk hadapi PRU-15, atas prinsip penyatuan ummah. – Malaysiapost

