SELEBRITI dan usahawan popular, Neelofa akhirnya mendedahkan wajah anaknya Bilal kepada umum dalam satu perkongsian video di laman Instagramnya malam ini.
Neelofa atau nama sebenar, Noor Neelofa Mohd Noor berkongsi wajah anaknya Muhammad Bilal bersama satu nukilan menggambarkan kecintaan tertinggi dan teragung terhadap puteranya itu.
“Cinta dan sayang pada anakku Bilal. Antara kecintaan tertinggi dan teragung ummi di dalam hidup ini…Tiada yang lebih menyayatkan hati selain anak ummi ini disakiti, pasti semua ibu kasih dan cinta kan anak mereka apatah lagi sewaktu mereka kecil.
“Bilal anak ummi sayang..Allah zahirkan kamu dalam hidup ummi dan abah begitu sempurna. Jika kekayaan yang nak dibandingkan maka kaulah yang paling berharga buat ummi dan abah. Jika keselesaan yang ditaruhkan, tiada taruhan yang dapat dibandingkan dengan senyumanmu.
“Sungguh ini adalah hadiah yang Allah kurniakan dalam hidup ummi menjadi penyejuk mataku. Syukur yang tiada penghujung padaMu ya Allah. Ummi doakan Bilal menjadi asbab agama tersebar seluruh alam,” luahnya.
Dalam nukilannya itu, Neelofa mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada Allah SWT atas kurniaan cahaya matanya itu dan berdoa agar anaknya sentiasa diberikan Afiyyah (kesejahteraan) dan faqih dalam agama.
Perkongsian wajah Bilal itu setakat ini sudah mendapat lebih 20,000 komen termasuk dari rakan-rakan selebritinya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nora Danish, Lisa Surihani, Fasha Sandha, Janna Nick, Awal Ashaari dan ramai lagi.
Terdahulu, wajah bayi dikatakan Bilal tular apabila seorang pengguna TikTok didakwa memuat naik video seorang wanita sedang mendukung anak itu.
Video yang dikatakan dirakam secara sembunyi, dipercayai diambil di sebuah klinik, baru-baru ini.
Susulan itu Neelofa dilaporkan terkilan dengan tindakan pihak berkenaan kerana dia dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail sudah merancang untuk memperkenalkan Bilal. – Malaysiapost

