Wan Junaidi ragui laporan siasatan Tommy selesai

0
3
https://www.facebook.com/photo/?fbid=548105887108113&set=pcb.548106280441407

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meragui laporan siasatan terhadap dakwaan kesalahan yang terkandung dalam memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas telah selesai.

Malah, dikatakan kertas siasatan sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kepantasan siasatan ini selesai seperti yang dianggap orang ramai (membingungkan). Berdasarkan pengalaman lalu, saya rasa tidak begitu cepat, melainkan kertas siasatan telah disediakan sebelum ini,” lapor FMT.

Wan Junaidi berkata, beliau pernah jadi inspektor polis selama 10 tahun dan proses siasatan bukannya mudah.

“Merakam kenyataan bukan mudah. Mereka (yang disiasat) belum melakukan kesalahan lagi, jadi anda perlu memanggil mereka (untuk disoal siasat) dan menetapkan masa untuknya. Bagaimana semua itu boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat?” katanya.

Sehubungan itu, beliau akan menyerahkan laporan berita itu kepada AGC untuk menentukan sama ada kertas siasatan itu benar-benar lengkap.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis telah menyelesaikan siasatan terhadap dakwaan Tommy dalam buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, dan kertas siasatan telah dihantar kepada AGC.

Pada 30 September, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan supaya disiasat segera kerana menghasut dan beberapa kesalahan lain yang timbul daripada kandungan bukunya.

Selain hasutan, katanya, Tommy akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA), Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Seksyen 124I dan 203A Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here