BARISAN Nasional (BN) mengarahkan semua jentera parti di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk melakukan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata BN juga akan memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi antara parti komponen gabungan itu serta ‘Friends of BN’.
Beliau berkata, semua perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam ini yang dihadiri pimpinan tertinggi parti itu termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Dewan Tertinggi BN mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian menjalankan mesyuarat koordinasi gerak kerja jentera bagi menghadapi PRU15.
“BN bersetuju dengan usaha untuk mengetengahkan calon-calon baharu yang mempunyai nilai ‘Winnable (boleh menang), Acceptable (Kebolehterimaan) & Likeable (disenangi)’ atau WALI, dan berazam untuk mencapai 30 peratus calon Wanita,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, Dewan Tertinggi BN juga bersetuju tema utama manifesto bagi PRU15 iaitu, ‘Kestabilan Dan Kemakmuran’.
“BN komited untuk memastikan kebajikan rakyat diperkasa dan kedaulatan negara terus terpelihara dengan penawaran polisi-polisi bersifat pro-rakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi yang mapan dan menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Zambry berkata, pihaknya menjunjung kasih kebawah Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Seri Paduka Baginda untuk membubarkan Parlimen.
“Ia selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagaimana termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Malaysiapost

