‘Bajet 2023 bukan pembentangan sia-sia’ – KJ

0
2

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin menyifatkan Bajet 2023 yang dibentangkan Jumaat lalu bukan satu perkara sia-sia walaupun pembubaran Parlimen diumumkan, semalam.

Beliau berkata, belanjawan itu adalah komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan dibawa semula ke persidangan Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya BN memerintah semula.

“Saya tidak anggap ia sia-sia sebaliknya ia adalah apa yang akan dibawa semula ke Dewan Rakyat selepas PRU nanti sekiranya mandat diberikan semula kepada Datuk Seri Ismail Sabri.

“Jadi rakyat tahu bahawa inilah yang akan dibawa semula oleh Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi BN sekiranya mendapat mandat daripada rakyat.

“Semua yang ada dalam pembentangan Menteri Kewangan itu adalah perbelanjaan yang sudah diperuntuk. Ia bukan manifesto berdasarkan janji-janji yang tidak diperuntuk, itu beza antara belanjawan dan manifesto,” katanya.

Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) menyifatkan pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu hanya sia-sia apabila Parlimen dibubarkan sebelum ia diluluskan.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia juga membazir sumber tenaga dan masa anggota perkhidmatan awam yang telah berhempas-pulas mengerah fikrah dan tenaga bagi menyediakan bajet itu.

“Keutamaan kita seharusnya ditumpukan untuk membantu rakyat mengharungi cabaran semasa dan memulakan kehidupan yang lebih terjamin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here