Najib tidak dibenarkan keluar berkempen PRU15

0
2

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak dibenarkan keluar berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selagi beliau menjalani hukuman penjara.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Datuk Nordin Muhammad, berkata Najib sentiasa tertakluk kepada akta dan peraturan semasa beliau menjalani hukuman penjara.

“Keadaan dan peraturan masih sama, jadi selagi beliau masih menjalani hukuman dalam penjara, beliau tertakluk kepada akta dan peraturan penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis pelancaran Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 (Akta A1660) di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di Kajang, hari ini.

Beliau mengulas pendirian pihak penjara sekiranya ada permohonan daripada penyokong Najib agar penyandang kerusi Parlimen Pekan itu diberi kebenaran khas untuk keluar berkempen pada PRU15.

Bagaimanapun, Nordin berkata selain permohonan untuk menghadiri sesi sidang Parlimen yang telah ditolak, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan lain daripada Najib.

Beliau turut mengulangi bahawa Najib tidak pernah menerima sebarang layanan istimewa sepanjang menjalani hukuman penjara seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Nordin berkata, Najib sama seperti banduan lain yang tertakluk kepada peraturan dan Akta Penjara selain prosedur operasi standard jabatan itu.

“Kami memberi layanan yang sama kepada semua penghuni di sini dan tiada istilah pilih kasih kepada banduan di sini,” katanya.

Najib, 69, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disahkan sabitan oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu dengan tuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here