Ahmad Idham dilantik Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan

0
2

PELAKON, pengarah dan penerbit filem, Ahmad Idham, dilantik sebagai Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan berkuat kuasa hari ini.

Ahmad Idham atau nama penuhnya Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata pelantikan itu diumumkan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Zamani Ibrahim, sewaktu mesyuarat gerakan berkenaan di Seremban, semalam.

“Saya terharu apabila dimaklumkan gerak kerja Hab Pendidikan Khas Dr Ahmad Idham yang saya asaskan dan gerakkan di Port Dickson melalui Pertubuhan Briged Prihatin dimaklumkan memberi impak di mata masyarakat.

“Mungkin atas dasar itu menjadi antara faktor yang dinilai kepimpinan tertinggi GTA Negeri Sembilan sebelum membuat keputusan untuk mengumumkan pelantikan ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Ahmad Idham yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), bagaimanapun berkata pelantikan itu bukan untuk dibanggakan, sebaliknya jawatan diberikan adalah amanah dan tanggungjawab yang harus digalas sebaiknya.

“Melalui pelantikan ini, ia memberi gambaran jelas bahawa GTA bukan sekadar gabungan antara parti politik, sebaliknya turut menggabungkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan profesional dan individu,” katanya.

Ahmad Idham berkata, lantikan beliau juga adalah atas kapasiti sebagai Pengerusi Pertubuhan Briged Prihatin dan beliau tidak perlu menyertai mana-mana parti politik.

“Saya komited untuk terus menyampaikan kepada masyarakat bahawa GTA bukan hanya gabungan retorik parti politik seperti digembar-gemburkan.

“GTA sebaliknya adalah gerakan rakyat untuk rakyat bagi mengangkat pemimpin Melayu Muslim yang berwibawa tanpa terikat kepada politik kepartian,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Idham dilapor kerap berada di Port Dickson selain diuar-uar bakal bertanding di kerusi Parlimen itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here