PERIKATAN Nasional (PN) akan menggunakan formula mengekalkan penyandang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menentukan pemilihan kerusi gabungan itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengekalan itu perlu berdasarkan prinsip calon boleh menang.
“Kemungkinan di satu dua tempat (calon Parlimen dan DUN) akan dinilai semula di peringkat pimpinan tertinggi PN. Itu kita akan teliti dan membuat keputusan.
“Namun secara prinsipnya adalah soal calon yang boleh menang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PN Negeri Perak di Ipoh, hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria serta Pengerusi Gerakan Perak, See Tean Seng.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, pimpinan tertinggi PN bersetuju memberi ruang kepada kepimpinan parti di peringkat negeri untuk memberikan input kandungan manifesto PN mengikut keperluan negeri masing-masing.
“Sebagai contoh, sekiranya PN Perak mempunyai beberapa perkara yang dirasakan wajar dimasukkan ke dalam manifesto negeri, kita akan masukkan,” katanya. -Malaysiapost

