Zaid ingatkan DAP tentang penyangak sebenar

0
3

PARTI pembangkang khususnya DAP diingatkan agar tidak begitu ghairah menggambarkan pemimpin Melayu sebagai perasuah atau menipu duit rakyat, kerana parti berkenaan didakwa turut mempunyai kaitan dengan penyangak sebenar.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, mendakwa antara penyangak terbesar adalah ahli perniagaan Teow Wooi Huat atau lebih dikenali dengan panggilan Teddy Teow dan mempunyai hubungan dengan pemimpin DAP.

Menurutnya, individu terbabit yang kini ditahan di Thailand kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan penipuan membabitkan mangsa dari China dan 70 negara lain dengan kerugian dianggarkan 500 bilion Renminbi China (RM326 bilion)

“Pembangkang khususnya DAP begitu ghairah nak menunjukkan bahawa kepimpinan Melayu adalah rasuah, banyak ‘scam’ (tipu) duit rakyat.

“Mereka menggambarkan pembangkang sebagai telus. Jadi saya nak tanya DAP, ingat tak kes Teddy Teow yang dilaporkan menipu ramai rakyat China dan 70 negara lain membabitkan 500 bilion Renminbi dan kini ditahan di Thailand.

“Apa yang kita tidak diberitahu ialah Teddy Teow ini kenal baik dengan pemimpin-pemimpin DAP. Gambar-gambar mereka di Pulau Pinang tahun 2018 kita masih ingat. Tapi kita orang dan kerajaan Melayu tak ada pun nak siasat scam ini,” katanya dalam satu video di laman Facebooknya, hari ini.

Zaid mendakwa, penipuan ahli perniagaan Malaysia itu 80 kali lebih besar dari kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), namun kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tidak menyiasatnya hingga boleh lari ke Thailand.

“Scam ini 80 kali lebih besar dari 1MDB. USD70 bilion. Jadi cukuplah nak menunjukkan kita Melayu ni rasuah.

“400 rakyat China datang ke sini buat protes untuk kerajaan Malaysia siasat Teddy Teow tetapi apa status siasatan hari ini?” soalnya.

Beliau turut mengingatkan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) agar tidak terlalu ‘defensive’ kerana banyak perkara yang perlu didedahkan mengenai kepincangan membabitkan pembangkang.

“Bukan sahaja isu pendedahan Jawatankuasa Khas mengenai badan kehakiman. Bisnes-bisnes scam yang macam Teddy Teow ini kita tak diberitahu mengenai siasatan polis bagaimana.

“Kalau nak jaga negara ini dengan baik dan tidak mahu penyangak sebenar menghancurkan sistem ekonomi negara, kita (Umno/BN) kena kembali berkuasa dan gunakan kuasa sepenuhnya untuk menangkap dan menyiasat mereka yang merosakkan ekonomi negara.

“Saya harap kita jangan hanya cuba memperkatakan perkara yang remeh temeh, tetapi kita kena cakap perkara yang berlaku sebenarnya. Jangan mereka permainkan kita seolah-olah kita ini semua penyangak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here