Pengurangan subsidi: Wong Chen sengaja putar belit – Shahril Hamdan

0
2

AHLI Parlimen Subang, Wong Chen sengaja memutar belit isu pengurangan subsidi yang didakwa akan menjejaskan pendapatan per kapita rakyat tahun depan. 

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan membidas kenyataan itu dengan menyifatkan Wong Chen sengaja pura-pura tidak faham mengenai isu pengurangan subsidi pada tahun hadapan. 

Menurut Shahril, data kerajaan yang mengunjurkan pengurangan pendapatan per kapita bagi tahun depan adalah disebabkan oleh pertumbuhan penduduk, tiada kaitan dengan pengurangan perbelanjaan untuk subsidi.

“Pendapatan per kapita hanyalah jumlah pendapatan dibahagikan dengan jumlah penduduk.

“Pendapatan negara diunjurkan meningkat 6.2 peratus, jadi satu-satunya cara pendapatan per kapita diunjurkan turun adalah kerana pertumbuhan penduduk lebih tinggi daripada 6.2 peratus. Tiada kena mengena dengan siapa dapat apa. 

“Agak asas, Wong Chen tahu tapi sengaja nak bakar konon subsidi kurang sampai pendapatan perkapita jatuh,” kata Shahril dalam ciapan di Twitternya.

Terdahulu, Wong Chen menegaskan kerajaan sebenarnya mengurangkan perbelanjaan untuk kebajikan dan subsidi dalam Bajet 2023 walaupun senarai panjang barangan diumumkan. 

Jelasnya, kerajaan mengurangkan bajet subsidi dan bantuan sosial daripada RM58.9 bilion tahun ini kepada RM42 bilion tahun depan, iaitu pengurangan sebanyak RM16.9 bilion. 

Beliau menyifatkannya sebagai “bajet untuk orang kaya”, merujuk kepada RM94 bilion yang diperuntukkan untuk projek kerajaan tahun depan. 

Katanya, tidak ada kesan “trickle-down” daripada projek-projek itu, sambil merujuk kepada unjuran pendapatan per kapita kerajaan untuk tahun depan, yang dijangka berkurangan sebanyak 1.2 peratus daripada RM50,314 kepada RM49,717. 

Bagaimanapun Shahril menjelaskan, peruntukan subsidi tahun depan dikurangkan berikutan ramalan kejatuhan harga komoditi.

“Tapi kalau nak jadi jaguh subsidi, tengok dulu peruntukan Bajet PH 2019 dan 2020. Tinggi?,” katanya. 

Dalam ciapan itu Shahril turut memuat naikkan tangkap layar ucapan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan yang menyatakan bahawa subsidi dinaikkan kepada RM24.2 bilion berbanding 22.3 billion tahun ini. 

Shahril turut melahirkan rasa terkejut apabila PH dilihat mahukan perbelanjaan yang lebih rendah untuk perbelanjaan pembangunan dan peningkatan dalam perbelanjaan mengurus. 

“Kalau perbelanjaan pembangunan rendah diorang kata tak membangun negara pulak. Perbelanjaan pembangunan tinggi kata kontraktor je untung.

“(Jika) belanja mengurus rendah kata subsidi tak cukup. Belanja mengurus tinggi dia serang gaji menteri/penjawat awam,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here