Tolak PRU15: Saifuddin nafi Menteri PN takut hilang jawatan 

0
2

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT)Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menafikan tuduhan kononnya barisan menteri parti itu dan PAS menolak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini kerana takut hilang jawatan.

Sebaliknya, beliau berkata, isu berkaitan jawatan dalam Kabinet tidak pernah dibincangkan antara mereka yang sedang memegang jawatan ketika ini.

“Saya tidak tahulah, tapi sebab kami menteri daripada Bersatu dan PAS tak ada isu jawatan sebab jawatan ini sementara dan ia bukan milik kami tapi milik parti.

“Kami ini wakil parti saja, jadi kalau parti kata jadi, jadilah (menteri). Pada kami, kami tidak pernah bincang pun soal jawatan,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Bagaimanapu, Saifuddin yang juga Menteri Luar menegaskan pendirian Bersatu adalah konsisten untuk menolak PRU15 diadakan hujung tahun ini kerana berkemungkinan berlaku banjir.

“Sekarang ini, Bersatu sudah menyatakan pendirian menolak PRU15 diadakan dalam masa terdekat, begitu juga Presiden PAS, (Tan Sri) Abdul Hadi Awang juga mencadangkan (PRU15) diadakan tahun depan, sekitar Mac.

“Begitu juga dengan Pakatan Harapan (PH), mereka juga setuju pilihan raya diadakan tahun depan, jadi sekarang ini tinggal siapa lagi yang bersungguh-sungguh tetap mahukan PRU15 segera ketika banjir?,” katanya.

Saifuddin turut memberitahu, pilihan raya umum sepatutnya dilakukan ketika rakyat berada dalam keadaan aman dan tidak terbeban dengan isu seperti banjir.

Katanya, pemilihan tarikh untuk PRU15 juga perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak merosakkan semangat anak muda yang dikategorikan sebagai pengundi kali pertama untuk menggalakkan mereka keluar mengundi.

“Kalau boleh saya nak tanya anak muda, Undi18 dan pengundi kali pertama bila mereka mahu pilihan raya umum diadakan.

“Kita mahu semua dapat keluar mengundi beramai-ramai, barulah dinamakan demokrasi yang sihat,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan, tindakan 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) menolak PRU15 diadakan segera kerana takut kehilangan jawatan dan kuasa masing-masing.

Ahmad Zahid mendakwa, keputusan anggota Kabinet daripada PN itu kerana bimbang dihukum pengundi sendiri berikutan ada dalam kalangan mereka sebelum ini bertindak melompat parti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here