Penjawat awam nikmati kenaikan gaji tambahan khas tahun depan

0
3
Pejabat Perdana Menteri (PMO)

PENJAWAT awam gred 11 hingga 56 bakal menikmati Kenaikan Gaji Tambahan Khas sebanyak RM100 dengan peruntukan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata kenaikan gaji tambahan khas itu akan bermula pada Januari tahun depan.

“Ini bermakna, jika seorang kakitangan Gred 11 bergaji RM1,600 mendapat Kenaikan Gaji Tahunannya RM80 pada setiap April, bagi tahun hadapan, beliau turut mendapat kenaikan gaji tambahan khas 2023 sebanyak RM100 bermula pada Januari 2023.

“Ini menjadikan gaji akhir beliau pada tahun 2023 adalah sebanyak RM1,780 dan gaji ini kekal dibawa ke tahun seterusnya,” katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat.

Tengku Zafrul berkata, untuk 2023 kerajaan turut bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700.

Manakala, katanya, bantuan sebanyak RM350 kepada 1 juta pesara kerajaan dengan implikasi kewangan berjumlah RM1. 3 bilion.

Sementara itu, beliau berkata Perdana Menteri memutuskan supaya Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri dinaikkan kepada RM600 dan dibayar pada Mac tahun depan.

“Bersama dengan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 yang berkuat kuasa Januari 2023 dan Bantuan Khas Kewangan RM700 menjadikan jumlah tambahan keseluruhan untuk penjawat awam yang layak pada tahun 2023 adalah RM2,500,” katanya.

Belanjawan bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here