Covid-19: Demi daerahku… aku sanggup membantu

0
3

SEKUMPULAN penduduk yang juga ahli kelab menyelam Semporna nekad membantu petugas barisan hadapan demi mengekang penularan Covid-19 di daerah tersebut.

Semporna kini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) Secara Pentadbiran sehingga 25 Oktober, manakala enam lokaliti di kawasan tersebut diletakkan di bawah PKPD.

Wakil Kelab Penyelam Tempatan Semporna (SLDC) Suzimin Edris, berkata semalam adalah hari pertama dia membantu petugas barisan hadapan melaksanakan tugas semburan sanitasi di beberapa kawasan di daerah itu.

“Alhamdulillah, pengalaman hari pertama jadi orang yang membantu barisan hadapan.

“Baru kami tahu macam mana seksanya memakai PPE (pakaian pelindung diri), tapi demi daerah ku…aku sanggup membantu pihak berwajib,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau yang aktif dalam aktiviti menyelam di perairan sekitar Semporna berkata, apa yang menguatkan lagi semangatnya apabila doktor dari luar sanggup datang membantu.

“Biar pun kita tahu ia adalah tugas dan tanggungjawabnya, tapi aku sebagai individu yang memang lahir dan menetap di sini, apa salahnya kalau aku juga ingin menggalas tanggungjawab itu bersama.

“Kami biasa pakai wetsuit, fins, mask (peralatan menyelam) kali ini kami guna facemask (pelitup muka).

“Semoga kewujudan skuad yang kecil ini dapat memberikan senyuman dan meringankan sedikit beban yang barisan hadapan kita rasai,” katanya. -Malaysiapost