KKM pantau kemasukan 2 produk Mi Sedaap mengandungi ethylene oxide

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus menjalankan pemantauan di pasaran dan pemeriksaan di semua pintu masuk negara terhadap dua produk Mi Sedaap yang dikesan mengandungi racun perosak ethylene oxide.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semakan KKM ke atas data ‘Food Safety Information System of Malaysia’ (FoSIM) mengesahkan dua produk berkenaan ada diimport ke negara ini.

“KKM mengambil maklum laporan media mengenai residu ethylene oxide yang dikesan di dalam beberapa perisa produk Mi Sedaap keluaran negara Indonesia iaitu Mi Sedaap Korean Spicy Chicken Instant Noodles dengan tarikh luput 21 Mei 2023; dan Mi Sedaap Korean Spicy Soup Instant Noodles dengan tarikh luput 17 Mac 2023.

“Melalui semakan KKM ke atas data FoSIM mengesahkan Mi Sedaap Korean Spicy Soup Instant Noodles ada diimport ke negara ini. Walau bagaimanapun, tiada kemasukan produk terlibat dengan dengan tarikh luput seperti di atas direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Ethylene oxide adalah racun perosak yang tidak dibenarkan penggunaannya dalam makanan berdasarkan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Menurutnya, ia merupakan sebatian gas kimia yang bersifat karsinogenik dan sering digunakan bagi menjalankan fumigasi atau pewasapan untuk membasmi makhluk perosak seperti serangga.

“KKM akan terus menjalankan pemantauan di pasaran dan mengenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) di semua pintu masuk negara.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu berkenaan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

“Pertanyaan juga boleh disalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here