“Langkah PN adalah pemberontakan dalam kerajaan yang dizahirkan secara terbuka” – Ahmad Shabery

0
3
Kredit: UMNO Online

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, menyifatkan langkah anggota Kabinet Perikatan Nasional (PN) mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong berkenaan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini sebagai pemberontakan.

Menurutnya, apabila 12 anggota kabinet berutus surat berkenaan ia menunjukkan kerajaan sudah tidak ada kesepakatan dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah tidak ada kepercayaan.

“Dalam pasukan bola, kalau ada sekumpulan pemain menyatakan perbezaannya dengan pengurus pasukan kepada pemilik kelab, bererti sudah tidak keserasian dalam team. Tukar pengurus, ganti pemain atau bubarkan team.

“Langkah PN adalah pemberontakan dalam kerajaan yang dizahirkan secara terbuka. Pasukan ini sudah tidak boleh bertahan lagi untuk menghadapi apa jua cabaran selepas ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau merujuk kepada surat pendirian anggota Jemaah Menteri daripada PN berhubung tarikh PRU-15 kepada Yang di-Pertuan Agong bertarikh 3 Oktober lalu.

Surat berkenaan menyatakan pendirian 12 anggota Kabinet PN yang tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini memandangkan Monsun Timur Laut yang akan bermula November ini.

Ahmad Shabery, berkata dengan tindakan Menteri Kabinet berkenaan kerajaan yang ada kini sepatutnya sudah terbubar.

Terdahulu Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pendirian gabungan itu yang tidak menyokong pembubaran Parlimen tahun ini, tidak boleh ditafsirkan sebagai gabungan itu hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.

Menurutnya, isu sokongan kepada Perdana Menteri adalah perkara berbeza berbanding pendirian PN berhubung pembubaran Parlimen dan PRU-15.

Beliau berkata, pendirian itu dibuat berdasarkan konsensus dalam kalangan parti komponen PN yang tidak bersetuju PRU-15 dilaksanakan ketika musim tengkujuh dan risiko banjir besar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here