EMPAT produk sirap ubat batuk dan selsema keluaran syarikat Maiden Pharmaceuticals, India yang dikaitkan dengan kematian 66 kanak-kanak di Gambia didapati tidak berdaftar di Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkara itu berdasarkan semakan ke atas pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“KKM mengambil maklum laporan berita bertajuk ’66 kanak-kanak maut di Gambia selepas minum ubat batuk’ yang merujuk kepada empat produk yang dikilangkan oleh pengilang Maiden Pharmaceuticals, India iaitu Promethazine Oral Solution, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup.
“KKM mendapati bahawa keempat-empat produk tersebut tidak berdaftar di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, KKM menerusi NPRA akan menjalankan pemantauan secara berterusan berkaitan kejadian itu untuk memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan di negara ini terjamin.
“KKM akan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran mengenai empat sirap ubat batuk dan selsema dibuat oleh Maiden Pharmaceuticals di India, yang dikaitkan dengan kematian 66 kanak-kanak di Gambia.
Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) juga memberi amaran bahawa ubat-ubatan yang tercemar itu mungkin sudah diedarkan di luar negara Afrika Barat, dengan ‘kemungkinan wujud pendedahan global’. – Malaysiapost

