Surat terbuka kepada Tan Sri Nazir Razak
PERTAMA sekali, saya berharap masih tidak terlewat untuk saya mengucapkan tahniah kepada Tan Sri atas pengurniaan gelaran Tan Sri baru-baru ini dan kerana menerbitkan memoir berjudul ‘What’s in a name’.
Apabila membaca buku tersebut, saya mendapati nama saya disebut beberapa kali di dalamnya. Walaupun berbesar hati kerana disebut sebagai tokoh korporat Malaysia pada zaman itu, saya ingin menyuarakan rasa amat kesal dengan beberapa bahagian buku yang mengandungi kesilapan besar dan memberikan gambaran salah. Saya ingin memetik peribahasa yang bermaksud, “Orang yang pertama sekali bercakap selalunya nampak betul sehingga datangnya orang lain dan bertanyakan soalan yang betul.”
Terdapat pepatah yang dikatakan daripada propagandis Nazi, Joseph Goebbels yang menyebut bahawa “Jika kita menyuarakan pembohongan yang cukup besar dan mengulanginya dengan cukup kerap, pada akhirnya orang akan mempercayainya”. Saya berazam untuk tidak membiarkan perkara ini berlaku.
Aset Umno
Saya ingin membetulkan salah faham sebelum semua orang mula lupa. Tan Sri menyebut dalam buku Tan Sri bahawa:
“Halim mendakwa beliau (hanya) dibayar RM165 juta untuk melepaskan empayar perniagaannya. Jika benar, bayaran itu barangkali berpatutan; meskipun beliau nampak hebat, Halim diwujudkan oleh dan untuk sistem syarikat berkaitan Umno. Kesudahannya, beliau merupakan pekerja sistem yang bergaji lumayan.”
Kata-kata Tan Sri itu turut disampaikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tan Sri Rashid Manaf pada April 2010:
“Belau telah dimaklumkan oleh Tan Sri Nor bahawa Khazanah telah mengambil alih aset milk Umno, bukan milik Tan Sri Halim. Oleh sebab itu, sejak awal lagi tidak pernah ada sebab untuk membayar Tan Sri Halim”.
Perkara ini turut dinyatakan oleh Bendahari Umno pada waktu itu, Dato’ Sri Abdul Azim Mohd Zabidi dalam Akuan Berkanun beliau bertarikh 5.9.2012 bahawa:
‘”Semasa saya menjadi Bendahari Umno, saya pernah berbincang dengan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang pada masa itu adalah Menteri Kewangan I yang telah memberitahu saya bahawa Renong Berhad dan UEM Berhad bukan dimiliki oleh Tan Sri Halim Bin Saad tetapi adalah kepunyaan Umno.”
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak benar. Di sini saya ingin menjelaskan bahawa semua aset saya diperoleh dengan menggunakan dana dan pinjaman saya sendiri dan pembelian aset tersebut tidak pernah dibiayai oleh Umno. Pada 1989 dan 1990 saya membeli saham UEM daripada Pemegang Serah Hak Rasmi yang mentadbirkan aset Umno (lama) selepas Umno disytiharkan haram pada 1998. Saham itu dibeli dengan harga RM178 juta dengan sumber saya sendiri. Saya juga membeli Kumpulan Fleet dengan harga RM50 juta. Perkara ini disahkan dalam buku berjudul “Daim Zainuddin Malaysia’s Revolutionary and Troubleshooter” tulisan Michael Backman. Tun Daim Zainuddin kemudian turut mengesahkan bahawa semua aset tidak lagi menjadi milik Umno.
“Daim mengesahkan bahawa selepas penjualan pada 1990, tidak ada lagi sebarang hubungan komersial antara Umno dengan Renong/UEM. Kata beliau, khabar angin berterusan yang mendakwa sebaliknya sentiasa menjadi belenggu kepada Halim.”
Hal itu turut disahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sidang Parlimen pada 24 November 1997 apabila beliau menyatakan:
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya Timbalan Presiden Umno, yang saya tahu UEM-Renong tidak ada hubung kait dengan Umno”.
Fakta yang lupa disebut oleh Tun Daim ialah saya membayar tunai RM50.0 juta kepada Pemegang Serah HaK Rasmi dan menanggung hutang RM554 juga apabila saya mengambil alih 100% Fleet Holdings Sdn Bhd. Selain itu, kumpulan tersebut mempunyai hampir RM300 juta dalam bentuk jaminan. Tambahan pula, Fleet Holdings hanya mempunyai modal berbayar RM1.0 juta dan 2 ringgit. Urus niaga jual beli pada mulanya itu akhirnya menjadi pakej penyelamat. Pakej itu menyebabkan saya menanggung kos RM508 juta. Saya menulis surat kepada Presiden Umno tetapi saya tidak pernah mendapat bayaran. Seterusnya saya juga menyumbangkan keuntungan RM60.0 juta kepada Pemegang Serah Hak Rasmi apabila saya menyelamatkan 60% daripada Seri Pacific Corporation Sdn Bhd (kini Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur) dan menyerahkannya kepada Pemegang Serah Hak Rasmi dengan kos sifar.
Jika apa yang saya nyatakan di atas tidak benar, sila buktikannya. Semua dokumen ada pada saya dan boleh diteliti oleh Tan Sri.
Opsyen Jualan/Tawaran Am (GO)
Saya ingin merujuk kepada bab khusus ‘Jay Le Taxi’ pada halaman 135 berhubung opsyen jualan yang saya letakkan untuk Saham UEM. Pada halaman itu Tan Sri menyebut bahawa “Opsyen “jualan’ untuk membuat beliau membeli saham boleh dilaksanakan antara Mac 2000 hingga Februari 2001, tetapi tiada siapa yang benar-benar mempercavai Halim akan dapat melaksanakannya.” Saya menganggap kenyataan itu sebagai sindiran bahawa saya tidak mampu untuk melaksanakan opsyen jualan tersebut.
Di sini saya ingin menjelaskan bahawa syarat pembayaran opsyen jualan itu adalah seperti yang berikut:
(a) RM100 juta pada 14.2.2001;
(b) RM100 juta pada 14.7.2001;
(c) RM100 juta pada 14.12.2001; dan
(d) Bakinya berserta faedah terakru pada 14.4.2002.
Pembayaran bagi RM100 juta pertama dibuat tepat pada waktunya. Pada 12.7.2001 iaitu sebelum tarikh akhir untuk pembayaran RM100 juta yang kedua, saya dipanggil oleh Perdana Menteri pada masa itu dan Tan Sri Nor Mohamad Yakcop untuk membatalkan Opsyen Jualan atau Tawaran Am itu. Hal ini disahkan oleh peguam saya ketika itu, Tan Sri Rashid Manaf yang telah mengadakan pertemuan dengan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop apabila beliau berkata, “Tan Sri sama sekali tidak boleh meneruskan GO yang dicadangkan atau meneruskan opsyen jualan”. Jelas kepada saya pada sepanjang masa, saya mendapat sokongan kewangan daripada Credit Suisse untuk menyempurnakan opsyen jualan/tawaran am itu tetapi saya diberitahu supaya tidak meneruskannya. Apabila saya membantah tuntutan Tan Sri Nor Yakcop itu, beliau kemudian menghubungi Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (ketika itu Tan Sri Ali Kadir) dan mengarahkan beliau supaya memanggil semua ahli lembaga pengarah UEM dan memberi mereka arahan tegas agar tidak membenarkan saya meneruskan opsyen jualan/tawaran am itu. Tan Sri boleh mengesahkan perkara ini dengan pengarah UEM atau setiausaha syarikat kerana sesetengah mereka masih hidup. Disebabkan tindakan dan sikap tunjuk kuasa Tan Sri Nor Yakcop pada waktu itu peguam saya Tan Sri Rashid Manaf menasihatkan saya supaya jangan menyanggah kehendak mereka yang berkuasa dan beliau juga menasihatkan saya supaya menerima syarat-syarat yang dikemukakan kepada saya oleh Tan Sri Nor Yakcop. Jika saya tidak ada wang, mengapa mereka bertindak sejauh itu untuk mengugut ahli lembaga pengarah suruhanjaya sekuriti bagi menyekat opsyen jualan atau GO itu?
Jika benar saya tidak mempunyai kemampuan, mengapa mereka menelefon saya untuk menghentikan opsyen jualan itu dan bukannya menunggu beberapa hari sebelum mengisytiharkan kemungkiran pada 14.7.2001? Tindakan ini terang-terangan menafikan hak saya terhadap aset saya sendiri.
Saya juga ingin merujuk kepada kenyataan bahawa saya mahu membeli saham Renong milik Time Engineering apabila Tan Sri menyebut, “Halim mempunyai tempoh sehingga Julai pada tahun itu untuk mengumpulkan RM873 juta yang diperlukannya untuk membeli balik saham Renong. Jelaslah beliau tidak memiliki wang tersebut dan memberikan harapan palsu kepada pemberi kredit”. Langkah ini adalah sebahagian daripada tawaran am. Andainya saya meneruskan GO itu, isu ini tidak menjadi relevan lagi.
Tambahan pula, tindakan saya untuk tidak meneruskan opsyen jualan/GO itu sering disalahtafsirkan sebagai pakej penyelamat daripada kerajaan. Saya ingin menjelaskan bahawa pada sepanjang masa, Kumpulan Renong (yang di bawahkawalan saya) sama sekali tidak memerlukan sebarang pakej penyelamat daripada kerajaan.
Lebuhraya Utara-Selatan (berserta rangkaian optik gentiannya) yang menjadi salah satu daripada aset bernilai UEM telah dibina, Alhamdulillah, dengan usaha saya dan disiapkan mengikut piawaian tertinggi 15 bulan lebih awal sebelum tamat tempoh kontrak selama tujuh tahun. Kejayaan ini dicapai dengan usaha, keringat, perancangan dan pengorbanan selama bertahun-tahun walaupun pelbagai cabaran dihadapi. Pencapaian ini bukan sesuatu yang saya peroleh dengan begitu sahaja menerusi urus janji korporat. Keempunyaan terhadap sesuatu membawa erti lebih mendalam apabila sesuatu yang besar dan berfaedah itu dibangunkan tanpa sebarang asas. Oleh sebab itu, kejengkelan lebih terasa apabila setelah dihalang untuk memperoleh manfaat yang sudah dipersetujui pada peringkat penjualan, komen sewenang-wenangnya dibuat oleh mereka yang mengetahui mereka tidak sepatutnya berbuat demikian.
Pakej Penyelamat Renong/UEM
PLUS/UEM/RENONG
Tan Sri juga menggambarkan bahawa kejatuhan Renong tidak dapat dielakkan dan kerajaan terpaksa menyelamatkan Renong daripada saya menerusi pengambilalihan oleh Khazanah. Gambaran itu juga tidak benar. Seperti yang dinyatakan berkali-kali pada masa lepas, hutang Kumpulan Renong tidak menimbulkan risiko kepada pasaran dan sistem perbankan. Sekiranya Tan Sri menyemak rekod, bon yang diterbitkan oleh PLUS/UEM/Renong pada 1999 bertaraf A dan dijamin secukupnya oleh aset dalaman kumpulan dan aliran tunai PLUS (Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad). Di sini saya memetik kenyataan Rating Agency of Malaysia tentang bon tersebut.
“RAM memberikan penarafan berstruktur A° kepada cadangan Bon PLUS amaun nominal RM16 bilion dan Bon Boleh Tukar Boleh Tebus (RCB) amaun nominal RM2.193 bilion”
“Penarafan A’ yang merupakan penarafan gred pelaburan kukuh itu mencerminkan daya tahan keupayaan PLUS untuk menjana aliran tunai”
TIME
Saya ingin mengulas juga tentang isu Time Engineering dan TimeDotCom. Hutang Time Group ialah hutang berasingan dan bukan sebahagian daripada Bon PLUS/PLUS SPV. Justeru, sebarang kegagalan tidak akan menjejaskan kumpulan tersebut. Beberapa hari selepas menurunkan tandatangan, saya diminta membatalkan penjualan 20% saham TimeDotCom bernilai RM1.67 bilion (TimeDotCom dinilai RM8.34 bilion pada masa itu) dan 15% pegangan saham bernilai RM0.649 bilion dalam Time Engineering kepada Singtel. Akhirnya saya terpaksa menerima tawaran daripada Khazanah dengan harga RM3.4 bilion lebih rendah. Pada pandangan saya, baik Khazanah mahupun Renong, UEM atau Time tidak berminat dengan tawaran itu. Khazanah sudah pun memiliki Telekom Malaysia dalam kumpulan mereka. Kami tidak menyukai tawaran itu kerana Khazanah tidak memiliki kepakaran yang berkaitan dan perkongsian tidak akan meningkatkan harga saham. Sekiranya saham tersebut dijual kepada Singtel, saya akan dapat mengurangkan hutang kumpulan dengan ketara dan meluaskan lagi potensi bagi TimeDotCom kerana Singtel akan menyumbangkan nilai kepada TimeDotCom dari segi kepakaran dan kemahiran untuk mengembangkan perniagaan.
Selaku tokoh perbankan dan CEO CIMB dan sebagai penasihat kepada kumpulan, Tan Sri mengetahui pelan Bank Negara yang disediakan oleh CDRC. Malah Tan Sri sendiri menganjurkan majlis menandatangani skim penyusunan semula Renong pada 1999 dan Tan Sri berucap bagi pihak CIMB dalam majlis tersebut. Tan Sri memetik kenyataan CDRC bahawa tidak ada pakej penyelamat. Tan Sri boleh merujuk semula kepada laman web Bank Negara, CDRC 1999, skim penyusunan semula Renong. Anehnya, kini dapat dilihat bahawa buku Tan Sri jelas bercanggah dengan kata-kata Tan Sri sendiri pada 1999.
Objektif penyusunan semula itu, berhubung dengan pemberi kredit UEM dan Renong, adalah supaya mereka semua akan dibayar sepenuhnya, untuk bergantung semata- mata pada aset Kumpulan Renong bagi penyelesaian tuntutan, untuk mengelakkan penjualan terdesak aset Kumpulan pada nilai semasa yang meleset dan untuk memastikan Renong dan UEM terus menjadi syarikat yang berdaya maju dari segi kewangan, serta berada dalam kedudukan baik untuk mengambil kesempatan dan mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi negara yang dijangkakan. Sila semak fakta ini dalam kenyataan CDRC Bank Negara. Persoalan saya ialah mengapa Tan Sri menggambarkannya sebagai langkah menyelamat sedangkan tidak ada kemungkiran atau pakej penyelamat? Apa perlunya untuk menyelamatkan sebuah kumpulan yang telah disusun semula?
Mengapa tidak bergegas untuk menyelamatkan kumpulan yang tidak disusun semula, contohnya Kumpulan Lion yang menanggung hutang USD 2.7 bilion atau RM10.1 bilion? Disebut dalam Bloomberg pada 2002 bahawa, “Pada 1999 beliau mungkir. Tiga tahun kemudian, Lion menjadi halangan terbesar yang terakhir kepada matlamat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyelesaikan hutang korporat Malaysia yang melampaui tempoh berjumlah lebih daripada RM8 bilion.” “Lebih tiga tahun kemudian, pemberi kredit dan Lion belum menandatangani pelan pembayaran balik hutang.” Sehingga Disember 2005, proses penyusunan semula belum selesai. Saya percaya sehingga 2018, tiada sesuatu pun yang telah dilakukan. Mengapa Tan Sri begitu berminat untuk mengawal sebuah kumpulan yang telah disusun semula sepenuhnya?
PUTRA
Hutang PUTRA juga merupakan hutang berasingan dan bukan sebahagian daripada Bon PLUS/PLUS SPV. Justeru sebarang kegagalan tidak akan menjejaskan kumpulan. Kos projek pada masa itu ialah RM7.5 bilion.
Tan Sri merupakan penasihat dan pelikuidasi bagi PUTRA dan Renong. Berikut ialah kenyataan Tan Sri dalam Penyata Renong pada 26/4/2002:
“Langkah yang perlu diambil atau dicadangkan untuk diambil oleh Renong berkaitan dengan pelantikan pelikuidasi.
Proses pengambilahan PUTRA menerusi jalan likuidasi lalah proses yang dipersetujui bersama oleh Renong, PUTRA dan Kerajaan. Proses pengambilalihan adalah selaras dengan syarat-syarat CA (Perjanjian Konsesi).”
Proses pengambilahan PUTRA menerusi jalan likuidasi ialah proses yang dipersetujui bersama oleh Renong, PUTRA dan Kerajaan. Proses pengambilalihan adalah selaras dengan syarat-syarat CA (Perjanjlan Konsesi).”
Malangnya kenyataan itu jelas tidak benar kerana bukan itu yang dinyatakan dalam perjanjian konsesi. Perjanjian konsesi menyatakan bahawa:
“Kemungkiran dalam tempoh operasi sekiranya berlaku kemungkiran selepas bermulanya operasi Kereta Api, Kerajaan akan mendapatkan Pengganti Kelayakan untuk membeli hak, hak milk dan kepentingan Syarikat menurut Perjanjian ini dan segala aset Syarikat berkaitan dengan Kereta Api atau Kerajaan sendiri membeli segala aset Syarikat berkaitan dengan Kereta Api dengan harga belian yang menyamai Kos Projek.”
Sekiranya Tan Sri mematuhi perjanjian ini, sejumlah RM1.5 bilion akan dibayar balik kepada Renong. Justeru tindakan Tan Sri telah menyebabkan Renong kerugian RM1.5 bilion.
Laporan yang paling boleh dipercayai ialah Laporan Rating Agency of Malaysia bertarikh Mei 2001. Menurut Laporan RAM itu, penilaian aset Kumpulan sehingga Mei 2001 ialah RM20.08 bilion (mencakupi nilai ekuiti PLUS Bhd sebanyak RM12.212 serta saham tersenarai dan tidak tersenarai Renong/UEM sebanyak RM7.874 bilion serta saham Renong dalam Johore Land berjumlah RM2.880 bilion) berbanding liabiliti Bon PLUS SPV sebanyak R8.37 bilion (nilai 1999) atau RM10.1 bilion pada 2001.
Aset Kumpulan bernilai RM23.926 bilion jika ditambah balik kerugian akibat menolak perjanjian dengan Singtel.
Saya mempelawa Tan Sri untuk memeriksa rekod berkenaan jika ada sebarang keraguan.
Berhubung dengan langkah korporat Tan Sri sendiri, pada 1997 Tan Sri dan beberapa pegawai kanan kumpulan melaksanakan Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS). Malangnya skim itu tenggelam semasa Krisis Kewangan Asia apabila gagal mencapai panggilan margin. Seperti yang Tan Sri sedia maklum, saya menyelamatkannya dengan kos melebihi RM52 juta. Pihak bank melantik seorang penulis pada 2003 untuk menghasilkan sebuah buku berjudul “Of People And Principle” dan penulis berkenaan, Zuraida Omar (sudah meninggal dunia) menulis perenggan berikut:
“Pihak pengurusan kanan Commerce Group khususnya, sebenarnya ada sebab untuk berasa murung. Apabila CAB menyelesaikan proses pengumpulan modalnya pada Jun 1997, mereka diberi hak untuk memiliki saham yang dilanggan dengan pembiayaan daripada sebuah bank lain. Bagi mereka yang mengambil hak tersebut, keistimewaan ini menjadi beban kewangan yang sangat besar apabila krisis meletus kerana mereka terpaksa membayar faedah yang berjumlah beribu-ribu ringgit sebulan. Jika bantuan tidak didapati untuk meringankan beban ini, Commerce Group Berhad akan mempunyai pasukan pengurusan yang muflis dari segi kewangan. Mujurlah seorang ‘kesatria putih’ tampil untuk menyelamatkan mereka dan membela hak tersebut” (Zuraidah Omar, Of People and Principle).
Memandangkan sayalah ‘kesatria putih’ atau penyelamat yang dimaksudkan, saya ingin mengingatkan Tan Sri tentang pepatah Cina yang berbunyi, ‘chi shuï bi wäng jué jing rén. ‘Terjemahannya, ‘Mereka yang minum air tidak patut melupakan mereka yang menggali perigi’,
Saya sudahi dengan mendoakan tahun penuh keberkatan untuk Tan Sri.
Tan Sri Halim bin Saad

