Ben Ibrahim
BUAT julung kali dalam sejarah kerajaan Pahang, pembentangan Bajet 2023 dilakukan pagi esok, kira-kira enam jam sebelum kerajaan Pusat membentangkan bajet peringkat Persekutuan.
Pembentangan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail itu juga menandakan bermulanya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) terakhir sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pemuda Umno Pahang, Mohd Farid Mohd Nor berkata sidang DUN kali ini juga bakal menyaksikan pengumuman rasmi oleh Wan Rosdy mengenai pencapaian Pahang melepasi sasaran kutipan hasil RM1 bilion.
“Sasaran ini diumumkan Wan Rosdy ketika pembentangan bajet tahun lalu dan kami sangat bangga apabila (sasaran) dicapai.
“Semua ini adalah hasil kerjasama dan kebijaksanaan Menteri Besar, barisan EXCO dan penjawat awam kerajaan Pahang.
“Diharapkan lebih banyak insentif diumumkan kerajaan Pahang bagi meneruskan agenda mensejahterakan rakyat di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Semalam, Wan Rosdy berkata pembentangan Bajet Pahang 2023 diteruskan Jumaat ini walaupun spekulasi mengenai pembubaran Parlimen hangat diperkatakan sejak awal minggu ini.
“Belanjawan akan diteruskan pada 7 Oktober ini… belum ada apa-apa (perubahan setakat ini),” katanya ringkas semasa ditemui media selepas pembukaan semula laluan FT008 Jalan Bentong-Gua Musang dekat Bentong, semalam. – Malaysiapost

