PRU15: Tak berhati perut, hanya mahu kekal kuasa – Guan Eng

0
2
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di perkarangan pintu 2 Istana Negara selepas selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

DAP menempelak sikap Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang disifatkan tidak berhati perut berhubung kenyataannya berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika musim banjir.

Pengerusinya, Lim Guan Eng mendakwa kenyataan Saravanan dengan menyatakan “biar rakyat marah” menunjukkan betapa kerajaan Barisan Nasional (BN) terpisah daripada rakyat.

Beliau berkata, ia turut mengingatkannya kepada kenyataan klasik Ratu Perancis, Marie Antoinette semasa Revolusi Perancis yang apabila diberitahu bahawa rakyat tidak cukup roti untuk dimakan, dia kemudian berkata, “biar mereka makan kek”.

“Sikap tiada perasaan terhadap risiko kehilangan nyawa dan harta benda ketika musim banjir membuktikan kerajaan Pusat tidak layak untuk memerintah, apabila ia tidak peduli kepada rakyat tetapi hanya ingin mengekalkan kuasa, tanpa mengira cara.

“Lebih teruk lagi, kerajaan sehingga kini gagal menyatakan rancangan kontingensi banjir mereka ketika pilihan raya dan sama ada perlu ditangguhkan sekiranya berlaku banjir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Saravanan didakwa berkata, jika kerajaan membuat keputusan yang tidak baik dengan mengadakan PRU semasa musim banjir yang hanya akan menimbulkan kemarahan rakyat, maka pembangkang yang akan mengaut manfaatnya.

“Saya pelik, takkan pembangkang ini baik sangat. Kalau kerajaan hari ini buat kesilapan besar adakan pilihan raya masa banjir, kalau betul-betul rakyat marah, biarlah rakyat marah.

“Itu akan memihak pada pembangkang apa? Mereka (pembangkang) takkan tiba-tiba nak jaga kepentingan kita? Ini adalah sandiwara politik,” katanya.

Guan Eng berkata, ramai pakar telah mencadangkan agar PRU15 diadakan hanya selepas musim tengkujuh berakhir, namun ada ahli politik BN yang sanggup menggadaikan nyawa dan harta rakyat biasa.

Malah, katanya, kedutaan Amerika Syarikat (AS) telah mengeluarkan amaran terhadap warganya berhubung banjir di Malaysia, menunjukkan negara itu lebih bertanggungjawab menjaga rakyat mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here