NAMA Batu Sapi di Sabah semakin menjadi sebutan berikutan Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan bagi memilih wakil rakyat baharu Parlimen itu, susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong.
Tahukah anda nama Parlimen Batu Sapi sebenarnya berasal dari sebongkah batu gergasi berbentuk seperti seekor sapi atau lembu, atau turut digelar batu berkaki tiga.
Terletak dalam daerah Sandakan, Batu Sapi adalah kawasan perindustrian dengan sekelilingnya kilang dan hari ini, beberapa nama jalan, bulatan dan sekolah di kawasan itu turut menggunakan nama Batu Sapi.
Di sebalik kewujudan bongkah batu yang terletak kira-kira 12 kilometer dari bandar Sandakan, terdapat beberapa mitos bagaimana ia boleh berdiri kukuh di tepi muara laut.
Mengikut dongeng masyarakat setempat, asal usul tempat berdirinya Batu Sapi itu ialah sebuah perkampungan nelayan.
Kononnya suatu hari, seekor buaya besar berenang menuju ke kampung itu pada waktu Maghrib ketika seluruh penduduk berada dalam rumah.
Kebetulan pada waktu itu, seekor lembu jantan yang menyedari kehadiran buaya lantas terjun ke laut dan cuba melawannya hingga menarik perhatian seluruh orang kampung yang keluar menyaksikan kejadian aneh tersebut.
Ketika pertarungan semakin sengit, kedua-dua haiwan disambar petir sebelum bertukar menjadi batu.

Penduduk tidak menolak kemungkinan kebenaran di sebalik mitos itu kerana jika diperhatikan ada satu struktur batu berbentuk buaya pada kaki batu berbentuk lembu, tetapi hanya boleh dilihat ketika air surut.

Ada juga mengaitkan sapi itu adalah seorang penduduk kampung yang dipanah petir kerana menderhaka kepada ibunya yang sakit.
Sejauh mana kebenarannya, sukar dipastikan kerana ia cerita dongeng yang disampaikan nenek moyang serta dari mulut ke mulut.
Dari segi geografi, Batu Sapi adalah formasi batuan atau batu tunggul yang terbentuk daripada runtuhan gerbang laut dan mengalami hakisan secara berterusan selama berjuta tahun.
Kawasan terletaknya bongkah batu itu diwartakan sebagai taman warisan pada 2002. – Malaysiapost
Kredit: Berita Harian

