12 menteri PN serah surat kepada Agong, tak setuju PRU15 tahun ini

0
2

SERAMAI 12 menteri Perikatan Nasional (PN) semalam mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian gabungan itu tidak mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mengesahkan perkara itu memaklumkan PN berpendirian kebajikan rakyat adalah perkara penting yang perlu diberikan tumpuan ketika ini.

“Saya boleh sahkan memang kami menteri daripada PN sudah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong memohon supaya tidak dilaksanakan PRU pada masa terdekat.

“Apa yang paling penting kita dalam kerajaan ingin menumpukan kepada perkara berkaitan kebajikan rakyat,” kata Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan, lapor Berita Harian.

Radzi menjelaskan apa dinyatakan dalam warkah diutuskan itu, menyatakan pendirian PN selama ini berhubung isu PRU15.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mungkin sudah maklum mengenai warkah diutuskan selepas perkara itu dilaporkan pihak media.

“Ini adalah pendirian menteri PN. Itu pendirian parti,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, surat itu sudah diterima Yang di-Pertuan Agong, semalam.

“Itu pandangan kami (untuk tidak bersetuju PRU15 diadakan tahun ini)… kami menghantar surat semalam dan Al-Sultan Abdullah menerimanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here