PM tak patut bangkit isu pembubaran Parlimen semasa mengadap Agong – Kit Siang

0
2

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak patut membangkitkan isu pembubaran Parlimen semasa mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, isu pembubaran Parlimen perlu dipersembahkan kepada Agong jika Perdana Menteri sudah mendapat persetujuan Kabinet untuk pembubaran.

Beliau berkata, kebanyakan Menteri dalam Kabinet sudah pun mengumumkan pendirian mereka secara terbuka yang tidak setuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan ketika musim tengkujuh.

“Perkara ini selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Pendirian Ismail Sabri yang mengatakan Perdana Menteri boleh memutuskan sendiri tanpa merujuk kepada Kabinetnya mengenai bila Parlimen boleh dibubarkan adalah tidak berapa tepat.

“Terutamanya memandangkan Malaysia kini berada dalam era politik gabungan dan hari di mana hegemoni politik satu parti politik ke atas parti-parti lain sudah pun tamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kit Siang berkata, Ismail Sabri perlu memimpin negara ke dalam sebuah era politik gabungan baharu, dan bukannya bertindak seperti ‘dinosaur politik’ yang tidak sedar mengenai perubahan politik yang sedang berlaku di sekelilingnya.

Malaysiapost semalam melaporkan Perdana Menteri dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, kira-kira jam 4 petang ini.

Memetik sumber kerajaan, pertemuan itu bagaimanapun tidak dapat disahkan sama ada untuk mempersembahkan laporan Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan esok di Dewan Rakyat atau memohon perkenan pembubaran Parlimen.

Terdahulu Ismail Sabri dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno bahagian di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, kelmarin.

Pada pertemuan itu Perdana Menteri telah memberi bayangan akan memohon perkenan bagi pembubaran Parlimen dalam masa terdekat ini dan ia selaras dengan tuntutan Umno yang mahukan PRU-15 diadakan tahun ini.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here