AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal kargo, di kedudukan kira-kira 14.5 batu nautika Barat Daya Sekinchan, Selangor, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, kapal tersebut ditahan sekitar jam 12.35 tengah malam oleh bot ronda Maritim Malaysia dalam rutin Op Ehsan di perairan negeri itu.
Menurutnya, kedudukan mencurigakan kapal berkenaan dikesan melalui radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia di Area Command Centre (ACC) Klang sejurus mendapat maklumat daripada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor dan Jabatan Laut Wilayah Tengah.
“Justeru, bot ronda maritim diatur gerak ke perairan Sekinchan untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kapal yang berdaftar di Panama itu dikendalikan oleh 19 kru lelaki warga China termasuk nakhoda berusia antara 26 hingga 52 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kesemua kru kapal memiliki dokumen pengenalan diri yang sah namun nakhodanya gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran berlabuh daripada Jabatan Laut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 491 B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Dua kru kapal kargo tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.
“Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pelanggaran undang-undang dan tindakan sewajarnya bakal diambil demi keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.
“Kepada pengusaha atau pemilik kapal pula dinasihatkan agar memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut sebelum melakukan sebarang aktiviti di perairan negara.
“Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan MERS 999. – Malaysiapost

