BEKAS ahli Umno Datuk Zaharin Mohd Yasin akan menyertai pentas ceramah Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke15 ini.
Beliau yang dipecat keahlian Umno minggu lalu menjelaskan, telah bersetuju dengan pelawaan pemimpin PH yang menjemputnya untuk menjadi antara penceramah mereka termasuk di sepanjang tempoh berkempen pada PRU kelak.
“Saya akan hadir berceramah di pentas Pakatan Harapan. Mereka menjemput dan saya akan hadir beri ceramah,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.
Zaharin turut mendedahkan beliau telah mengadakan perbincangan mengenai perkara berkenaan dengan beberapa pemimpin PH di Parlimen, hari ini.
Ditanya sama ada sudah membuat keputusan untuk menyertai salah satu parti dalam PH, Zaharin menjelaskan, buat masa ini tidak akan menganggotai mana-mana parti politik.
“Saya tidak akan sertai mana-mana parti politik tetapi sebab saya sudah dipecat dari Umno, maka saya bebas untuk terima jemputan sesiapa termasuk menyampaikan ceramah di pentas PH,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan akan memohon menyertai semula Umno, sebaik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi menjadi presiden parti itu.
“Saya akan memohon semula untuk menjadi ahli Umno sebaik Ahmad Zahid tidak lagi menjadi presidennya. Itu keputusan yang saya akan ambil,” katanya.
Jumaat lalu, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan memecat aktivis politik itu daripada menjadi ahli parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata keputusan itu diambil mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli Umno di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan Umno. -Malaysiapost

