SUDAH tiba masanya Perdana Menteri Ismail Sabri bertindak tegas dengan menyatakan secara jelas tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata dengan terus membuat seluruh negara gelisah, Ismail Sabri bukan sahaja mengganggu pentadbiran kerajaan, malah iklim pelaburan di negara ini.
“Setiap hari beliau memilih untuk melengahkan pengumuman tarikh pilihan raya, beliau akan kelihatan semakin lemah.
“Sektor perniagaan benci kepada ketidakpastian dan akan menangguhkan keputusan pelaburan sehingga terdapat kepastian, kejelasan dan konsistensi dalam dasar kerajaan.
“Semua ini tidak mungkin berlaku dengan kerajaan yang kini berada dalam demam pilihan raya yang teruk dengan drama terbaharu sama ada Ismail Sabri akan membubarkan Parlimen esok apabila beliau mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi perjumpaan mingguan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Guan Eng berkata menjelang esok sama ada Parlimen dibubarkan, atau Ismail Sabri harus menyatakan dengan jelas bila tarikh tepat pilihan raya untuk menghapuskan ketidaktentuan perniagaan yang akan memberi kesan buruk kepada pasaran dan pembuatan keputusan pelaburan.
“Jika Parlimen dibubarkan esok walaupun negara berada di tengah-tengah musim tengkujuh dan banjir teruk, maka jelaslah beliau sanggup mengorbankan mereka yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa dan harta benda ketika banjir semasa tempoh kempen pilihan raya.
“Demi kepentingan negara dan politik Ismail Sabri, pilihan raya lebih baik diadakan tahun depan,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Bagan itu menambah, sehingga kini tiada gabungan rancangan banjir dan PRU yang dikemukakan kerajaan.
“Ini semata-mata keputusan politik yang tidak bertanggungjawab dan permainan kuasa untuk memenangi PRU dengan segala cara walaupun dengan harga kehilangan nyawa dan harta benda akibat banjir.
“Walaupun pembangkang telah menasihat Ismail bahawa lebih baik untuk membuat Presiden Umno marah daripada mengundang kemarahan alam, Ismail Sabri mesti hapuskan ketidakpastian mengenai tarikh pilihan raya untuk selama-lamanya.
“Ismail Sabri juga harus tahu walaupun sekarang beliau mempunyai kuasa sebagai Perdana Menteri, kuasanya hilang serta-merta sebaik beliau membubarkan Parlimen.
“Kuasa yang diberikan kepadanya kemudiannya akan dipindahkan dengan serta-merta kepada Ahmad Zahid yang memegang nasib politik setiap calon pilihan raya Umno di tangannya,” katanya. – Malaysiapost

