KPM cari pendekatan selesai isu kantin sekolah padat

0
2

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang mencari pendekatan menyelesaikan isu kantin di sekolah dengan jumlah murid ramai, sehingga ada yang terpaksa menjadualkan lima sesi waktu rehat.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, ada sekolah tidak dapat menampung bilangan murid yang datang serentak dan memerlukan beberapa sesi, sehingga terpaksa melaksanakan sesi rehat lima kali.

“Situasi tersebut terjadi kerana sekolah yang mengalami kepadatan murid tetapi kantinnya hanya mampu menampung kapasiti asal, yang ruangnya tidak ditingkatkan selari dengan peningkatan kapasiti murid,” lapor Bernama.

Beliau Bercakap kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9 (2), Putrajaya, hari ini.

Radzi berkata, disebabkan tidak dapat memenuhi keperluan, waktu rehat di sesetengah sekolah bermula terlalu awal pada pukul 8.30 pagi.

“Kalau terlalu awal, selang masa antara rehat hingga kembali ke rumah itu panjang,” katanya.

Ditanya jika KPM akan mempertimbangkan kebenaran murid makan dalam bilik darjah terutama mereka yang membawa bekal dari rumah, Radzi berkata perkara itu memerlukan pemantauan yang menuntut penggunaan sumber manusia.

Katanya, kaedah itu pernah dilaksanakan sewaktu pandemik COVID-19 sedang memuncak, namun isu kantin itu memerlukan satu penyelesaian menyeluruh dan kekal untuk menangani situasi berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here