Kesalahan Zul Ariffin jadi pengajaran, pesanan Allah – Erma Fatima

0
3

PENERBIT drama Perempuan Itu, Erma Fatima menyifatkan insiden menimpa pelakon utama, Zul Ariffin sebagai pesanan Tuhan dan boleh dijadikan pengajaran.

Pada masa sama, Erma juga mengingatkan dirinya dan orang ramai lebih berhati-hati.

“Bagi saya, ini adalah pengajaran kepada kita. Bukan sahaja Zul, tetapi untuk saya, pengarah dan artis-artis lain.

“Saya percaya apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Mungkin ini juga pesan Allah kepada kita semua,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Tambah Erma, sungguhpun drama Perempuan Itu berdepan kontroversi, ia tetap akan ditayangkan dan sedang melalui proses penyuntingan.

“Drama Perempuan Itu akan tetap ditayangkan dan saya sedang menunggu tarikh tayangan. Ia juga sedang dalam proses penyuntingan.

“Bagi saya, drama Perempuan Itu tiada masalah. Kita tak boleh terlalu cepat menghakimi hanya kerana satu video tular hingga menghukum drama ini. Ia tidak adil buat saya,” katanya.

Ditanya adegan sumbang dimuat naik oleh Zul Ariffin, Erma berkata, babak berkenaan tidak akan dimuatkan.

“Memang tidak akan keluar. Babak ini saya perlu hantar kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebab sudah tahu jawapannya,” katanya.

Terdahulu, Zul Ariffin atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Sepang hari ini atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial pada 18 Mac lalu.

Zul Ariffin membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 18 Mac, Zul Ariffin memuat naik babak ghairah dalam drama Perempuan Itu di laman Instagram (IG) miliknya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here