Warga Afrika maut bergaduh di pusat hiburan

0
3

LAPAN individu termasuk dua wanita warga asing ditahan kerana dipercayai terbabit dalam pergaduhan mengakibatkan seorang lelaki warga Afrika meninggal dunia di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Razak, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah, berkata pihaknya menerima maklumat daripada anggota Balai Polis Pudu pada jam 5.35 pagi, memaklumkan tiga lelaki warga Afrika cedera dipercayai akibat pergaduhan.

Menurutnya, ketiga-tiga lelaki berkenaan berada di wad kecemasan di sebuah hospital swasta dan seorang daripadanya meninggal dunia ketika diberikan rawatan.

“Hasil siasatan polis mendapati, mangsa dan rakannya bergaduh dengan sekumpulan lelaki warga Afrika.

“Mangsa mengalami kecederaan parah iaitu kesan luka akibat tetakan di belakang leher dan kejadian berlaku di kawasan pusat hiburan sekitar Jalan Tun Razak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju telah menahan enam lelaki dan dua wanita warga asing untuk tindakan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here