Lulus kuota 30% calon bukti Umno komited terus perkasa wanita – Noraini

0
3

WANITA Umno menyambut baik keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang bersetuju meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata keputusan itu bukan sahaja mengiktiraf keupayaan dan kemampuan wanita untuk memimpin, malah iltizam Umno untuk terus memperkasa peranan wanita di negara ini.

Menurutnya, agenda memperkasakan wanita ini merupakan usaha berterusan oleh Wanita Umno sejak sekian lama dalam memartabatkan golongan itu.

Terbaru, katanya, simposium Women Re-Energize Leadership Development ‘WoRLD’ – Mengarus Perdana Kepimpinan Wanita’ telah diadakan pada 23 hingga 25 September lalu.

Melalui program itu, beliau berkata, satu resolusi telah dihasilkan termasuk mahu penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan dalam politik ditingkatkan sekurang-kurangnya 30 peratus membabitkan semua lapisan kepimpinan dan komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

“Wanita Umno juga akan membangunkan sistem maklumat profail, prestasi dan kelayakan yang menjadi ‘CV Bank Wanita’ untuk rujukan kepada pucuk pimpinan parti bagi pemilihan calon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi memastikan kesinambungan usaha untuk mencungkil potensi dan bakat wanita yang kompeten dan berkualiti, Noraini berkata, sebuah Akademi Kepimpinan Wanita akan ditubuhkan dengan modul yang profesional dan menepati kehendak semasa keperluan rakyat dan negara.

“Program perkaderan bakat juga dijalankan secara berterusan selain sebuah papan pemuka (dashboard) akan dibangunkan bagi mengurus keperluan pembangunan dan pendidikan pimpinan wanita yang lebih profesional.

“Wanita Umno sentiasa berusaha menjaga kepentingan penyertaan wanita dalam kumpulan pembuat dasar,” katanya sambil mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pucuk pimpinan Umno kerana meluluskan resolusi yang dibawa oleh wanita. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here