PM yakin Bajet 2023 dapat sokongan Ahli Parlimen

0
3

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini mendapat sokongan Ahli Parlimen untuk diluluskan.

“Saya percaya bajet akan diterima sebab bajet ini untuk rakyat, kalau pembangkang tak setuju dengan bajet, maknanya pembangkang tak setuju apa yang diperuntukkan oleh kerajaan untuk kepentingan rakyat.

“Kalau bajet tak lulus dari segi emolumen bayar gaji kakitangan kerajaan pun tak boleh dibuat, jadi bajet perlu diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pramajlis bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14, malam tadi.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa terbuka dan bersedia menerima pandangan daripada pihak pembangkang berkaitan dengan Bajet 2023.

“Bagaimanapun, komen negatif dan sebagainya daripada pihak pembangkang itu memang dijangkakan seperti biasalah.

“Setiap kali bajet adalah pandangan-pandangan daripada mereka sama ada positif atau negatif dan kita terima. Biasanya pandangan-pandangan itu akan diambil kira oleh kerajaan,” katanya.

Ditanya sama ada mesyuarat malam tadi ada membincangkan mengenai pembubaran Parlimen, Ismail Sabri berkata, hanya perkara berkaitan perjalanan Dewan Rakyat sahaja yang dibincangkan.

“Mesyuarat pramajlis ini membincangkan daripada segi pembentangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“(Ini termasuk) mengenai perjalanan Parlimen, berapa jumlah soalan-soalan yang ditanya, berapa jumlah berdasarkan kementerian, apa undang-undang yang akan dibentangkan, pindaan dan sebagainya,” katanya.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pakatan Harapan (PH) meneliti kemungkinan untuk menolak Bajet 2023.

Perkara itu dimaklumkan Anwar mengambil kira tindakan kerajaan yang didakwa tidak telus dalam beberapa perkara penting. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here