Bubar Parlimen: ‘Kadang-kadang Umno tak fikir panjang’ – Hamzah

0
2

TINDAKAN Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menetapkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini sebagai tidak mematuhi peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang menegaskan keputusan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 perlu dibuat selepas mendapat pandangan daripada Jemaah Menteri.

Katanya, walaupun Perdana Menteri mempunyai kuasa menasihatkan Yang di-Pertuan Agong berkenaan perkara itu tetapi beliau perlu mendapatkan pandangan anggota Kabinet terlebih dahulu.

“Apakah itu tujuan dan matlamat mereka? Saya tak tahulah… yang pentingnya dalam Perlembagaan bahawa Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen setelah berbincang dengan anggota Kabinet.

“Apabila sudah sampai waktu untuk kerajaan membubarkan Parlimen, mungkin kerana sudah adanya keperluan untuk rakyat melantik atau mencari kerajaan yang baharu.

“Kalau kerajaan yang ada hari ini baik, sepatutnya diteruskan sehingga tamat tempoh,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan MKT Umno membuat ketetapan PRU15 diadakan tahun ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata Umno perlu peka bahawa kerajaan dibentuk hari ini bukan diterajui sebuah parti dominan, sebaliknya terdiri daripada pelbagai parti politik sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pembubaran Parlimen.

“Jadi kena fikir panjanglah. Kadang-kadang Umno tidak berfikir panjang dan ini masalah. Saya pula fikirkan kepentingan rakyat kerana segala apa yang kita lakukan adalah untuk kepentingan rakyat.

“Visi kita adalah untuk memastikan negara kita menjadi antara negara terbaik di dunia yang mana semua di seluruh dunia datang untuk melawat, duduk dan memajukan negara ini bersama undang-undang yang dipercayai serta diyakini,” katanya.

Kelmarin, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang tamat membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, semua jentera parti pada setiap peringkat diarah memuktamadkan segala persiapan dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran hinggalah tarikh PRU15,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here