
DAP menyifatkan keputusan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) awal sebagai tidak wajar kerana ia didakwa tidak menghormati sambutan perayaan pelbagai kaum termasuk Deepavali.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata sekiranya Parlimen dibubarkan bulan ini, bermakna PRU15 akan diadakan ketika masyarakat India bakal menyambut Deepavali.
Namun katanya, jika PRU15 dilangsung Januari pula, ketika itu masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Cina dan jika April, masyarakat Islam akan menyambut Aidilfitri.
“Kalau Parlimen dibubarkan pada bulan ini, ini tidak menghormati kaum India yang akan menyambut perayaan Deepavali. Adakah hendak bubar Parlimen sebelum sambutan Deepavali?
“Pemilihan tarikh pilihan raya perlu ada sensitiviti terhadap setiap kaum yang menyambut perayaan. Macam di Sabah dan Sarawak, takkan hendak buat pilihan raya negeri semasa perayaan Gawai, ini tak pernah berlaku.
“Jadi kalau hendak bubar Parlimen pada bulan ini, perayaan Deepavali sudah hampir. Bulan Januari pula sambutan Tahun Baharu Cina, bulan April pula hari raya.
“Disember perayaan Krismas, tapi biasanya Disember tidaklah (diadakan PRU15),” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.
Beliau berkata demkikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen DAP Perak, hari ini.
Ditanya mengenai perbelanjaan pilihan raya akan meningkat sekiranya pilihan raya umum dan pilihan raya negeri diadakan pada tarikh berasingan, Anthony berkata, untuk jimatkan kos, Parlimen patut dibubarkan serentak dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu pada akhir penggal.
“Kalau dibubarkan pada akhir tempoh Parlimen dan juga DUN, semua DUN perlu dibubarkan kecuali Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak, jadi sembilan DUN perlu dibubarkan secara serentak dan pilihan raya semua negeri tersebut.
“Jadi cara yang paling baik untuk menjimatkan kos pilihan raya ialah tunggu sampai akhir penggal sebab kita sudah katakan mengapa kita nak tunggu sampai akhir penggal sebab sekarang musim tengkujuh, tinggal beberapa bulan saja lagi,” katanya. – Malaysiapost
