PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah menyatakan persetujuannya untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada tahun ini.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata persetujuan itu dinyatakan Perdana Menteri dalam pertemuan membabitkan lima kepemimpinan tertinggi atau ‘Top 5’ Umno semalam.
“Menerusi pertemuan semalam, kita berbincang mengenai perkara berkaitan PRU, macam-macam isu dibangkitkan dari segi calonnya, duit, jentera dan macam-macamlah.
“Secara asasnya, Perdana Menteri juga sudah bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Mini Karnival Keluarga Malaysia FELCRA Berhad 2022 di Padang Kampung Batu Karang, Rantau Panjang, hari ini.

Semalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat ketetapan untuk mengadakan PRU-15 tahun ini.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sidang medianya semalam, memaklumkan susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, mengenai persiapan Umno bagi menghadapi PRU-15, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, persiapan parti kini mantap dan sudah bersedia untuk menghadapinya.

Lima pemimpin tertinggi UMNO atau lebih dikenali ‘Top 5’ malam tadi mengadakan mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn, diikuti mesyuarat MKT.
Pemimpin Umno berkenaan terdiri daripada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Ismail Sabri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Mahdzir. – Malaysiapost

