MN kembali diperkasakan – Mohd Khairuddin

0
2

BEKAS pemimpin Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa Muafakat Nasional (MN) kini kembali diperkasakan selepas hubungan tegang antara Pas dan Umno sebelum ini dieratkan kembali dengan pertemuan pucuk pimpinan kedua-dua parti.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, secara tiba-tiba Pas telah menghulurkan tali untuk mengeratkan kembali  persahabatan dengan Umno menerusi kunjungan hormat Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menemui Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Menurutnya, Umno juga telah menyambut usaha terbaru itu dengan sehangatnya dan ahli kedua-dua parti telah diarahkan untuk ‘gencatan senjata’.

Beliau berkata, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga mengeluarkan kenyataan hari ini berhubung larangan kepada ahli supaya tidak mengeluarkan kenyataan melainkan dengan izin Presiden demi menjaga hubungan baru kedua-dua parti agar tidak tercalar lagi.

“Perpaduan ini mesti diusahakan malah wajib diusahakan demi kepentingan Islam Melayu di tanah air tercinta ini. Cukuplah 44 tahun ahli keluarga sendiri terpisah akibat perbezaan fahaman politik sejak 1978 khususnya di Terengganu, Kelantan dan Kedah.

“Sampai masanya generasi baru kedua parti Islam Melayu ini bersaing menawarkan polisi pentadbiran dan manifesto siapa yang terbaik di arena politik pilihan raya secara sihat, damai, matang dan sejahtera tanpa serang-menyerang peribadi, gelar-menggelar yang buruk dan tuduh-menuduh yang mencarikkan persaudaraan. 

“Inilah yang diajar dan dan dididik oleh Islam. Tinggalkan politik mengungkit cerita lama yang mencarikkan persahabatan yang sudah lapuk di telan zaman,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Takiyuddin hari ini yang mengatakan sebarang kenyataan media tidak boleh dibuat melainkan dengan kebenaran Presiden Pas bagi mengelak timbulnya suasana yang boleh merugikan perancangan dan perjuangan parti khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Mohd Khairuddin yang juga bekas sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, berkata dari sudut politik pilihan raya, sekurang-kurang berundinglah pada 20 kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) sekarang yang dengan undi bersama Pas dan Umno boleh memenangkan Pas atau Umno.

“Perinciannya ialah enam kerusi Parlimen di Kedah iaitu Merbok, Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu, Pokok Sena, Kuala Kedah dan Padang Serai.

“Parlimen di Pahang iaitu Raub, Temerloh, Bentong dan Kuantan, selain empat kerusi di Selangor iaitu Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kapar dan

Kuala Langat.

“Parlimen di Perak iaitu Parit Buntar, Lumut dan Tanjung Malim di Perak. Begitu juga

Tampin di Negeri Sembilan, Tangga Batu di Melaka dan Kangar di Perlis. Selamat bermuafakat dan berunding,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here