Polis selesai rakam keterangan Tommy Thomas

0
3

KETERANGAN Tan Sri Tommy Thomas berhubung buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ telah selesai dirakam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata tindakan itu susulan satu kertas siasatan yang dibuka berhubung buku ditulis bekas Peguam Negara berkenaan.

“Susulan laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” yang telah di taklimatkan kepada Jemaah Menteri dan arahan disampaikan Perdana Menteri agar siasatan lanjut segera dilaksanakan.

“Kertas siasatan yang telah diperkemaskan akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara pada 3 Oktober 2022 untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam mengarahkan agensi penguatkuasa melakukan siasatan lanjut segera ke atas Tommy berhubung kandungan yang ditulis dalam bukunya.  

Menurutnya terdapat empat isu utama daripada 19 isu penting dalam buku yang ditulis Tommy perlu disiasat lanjut oleh agensi penguatkuasa.  

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berkaitan, bagi menyiasat kemungkinan salah laku Tommy Thomas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.  

Perdana Menteri menjelaskan, Pasukan Petugas Khas siasatan buku tersebut telah menemui 19 kategori melibatkan isu-isu penting sekali gus mengesan empat isu utama.  

Ismail Sabri berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 124(1) & Seksyen 203A Kanun Keseksaan;  Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau turut dilaporkan berkata, kerajaan akan mendedahkan kepada umum laporan akhir pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan berkaitan buku tulisan bekas Peguam Negara berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here