DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua pihak menunggu tarikh beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pembubaran Parlimen.
Pada ketika sama, Perdana Menteri mengesahkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan tahun ini, seperti ketetapan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi.
“Tunggu dulu. Tunggulah… kalau dari tahun lepas sudah tunggu, tahun ini boleh tunggu. Semalam dalam kenyataan SUA (Setiausaha Agung Umno), dia kata tahun ini (PRU15,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Beliau ditemui media selepas hadir Majlis Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di ibu negara.
Sementara itu Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno menafikan ada pihak menetapkan syarat tertentu supaya beliau memohon pembubaran Parlimen segera bagi membolehkan PRU15 diadakan segera.
“Tiada (syarat). Kita ada ‘top five’, ada Biro Politik. Tiada sesiapa yang beri sebarang ‘condition’.
“Kalau kita mahu buat PRU dan ada asas yang kuat untuk kita percepatkan dan setuju secara bersama, kita buatlah. Cuma tarikh itu, tunggulah pengumuman,” katanya.
Beliau menambah, Umno sudah lama menuntut untuk PRU diadakan iaitu sejak Februari 2020 dan ia bukan perkara baharu.
“Daripada dulu Umno minta percepatkan pilihan raya. Bukan baru cakap. Kita mahu kembalikan (mandat) kepada rakyat untuk buat penentuan. Biar rakyat tentukan,” katanya.
Malam tadi, mesyuarat MKT Umno membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan tahun ini. – Malaysiapost

