BLOGGER dan aktivis, Datuk Zaharin Mohd Yasin menyifatkan pemecatannya daripada Umno adalah tindakan peribadi Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ‘konco Kluster mahkamah’.
Beliau mendakwa tindakan itu diambil bagi menutup mulut dan ‘mematikan tangannya’ dari menulis kemungkaran politik oleh Presiden Umno.
“Mulut dan tangan saya tidak akan terhenti kerana tersingkir sebagai Ahli Umno.
“Malah menaikkan semangat saya terus mengajak rakyat berbilang kaum menolak BN/Umno di bawah kepimpinan seorang perompak, penyamun dan pencuri wang rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Zaharin berkata, beliau tidak menerima sebarang surat tunjuk sebab mahupun dihadapkan ke Lembaga Disiplin.
Malah katanya, Umno Bandar Tun Razak yang diwakilinya serta cawangan tidak pernah membuat keputusan atau aduan rasmi ke Pejabat Setiausaha Agung untuknya diambil tindakan disiplin.
Beliau bagaimanapun menegaskan tidak akan mengemukakan rayuan atas pemecatannya.
“Saya tidak akan merayu, sebaliknya berterima kasih kepada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno kerana menyingkirkan saya. Ia memberikan saya kemerdekaan menulis dan memberi pandapat.
“Setelah 52 tahun menyokong Umno, sebagai orang ditanam perkaderan kiri, saya tahu dan sedar Umno sebuah parti yang mempertahankan sistem kapitalis (pemodal), parti dikuasai elit politik dan bangsawan. Di mana saya mempertahankan sistem itu.
“Kini saya tidak menjadi ahli parti itu. Maka saya tidak lagi berminat berjuang atas landasan kanan,” katanya.
Sehubungan itu tegasnya, beliau akan mencari wadah kiri dalam perjuangan pada masa depan selagi mahu menyumbang kepada perjuangan rakyat.
Semalam Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat MKT Umno sebulat suara bersetuju memecat Zaharin sebagai ahli parti itu.
Keputusan itu berkuat kuasa serta-merta mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli Umno di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan Umno. – Malaysiapost

