Hadi perjelas kenapa PAS masuk ‘semua kolam’

0
2
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

TAN Sri Abdul Hadi Awang hari ini menjelaskan keraguan pihak tertentu terhadap PAS yang dikatakan memasuki ‘semua kolam’, kecuali kolam yang banyak buaya atau binatang berbisa.

Menurut Presiden PAS itu, persoalan tersebut ditimbulkan pihak berkenaan di sebalik penegasan parti itu yang membawa agenda perpaduan umat.

Ia juga katanya, bagi menjawab dilema kefahamannya terhadap PAS yang  beraqidah Islam dan bersifat universal, tetapi pada masa sama memperjuang kebangsaan Melayu dan Bumiputera.

Jelasnya, aqidah Islam yang berbeza dengan ideologi, perlu dirujuk kepada huraian al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah yang mentafsirkannya di mana kedua-dua sumber adalah rujukan tertinggi dalam Undang-undang Tubuh atau Perlembagaannya.

Al-Quran menegaskan wujudnya bangsa dan perasaan kasihkan bangsa masing-masing itu merupakan fitrah kejadian manusia makhluk ciptaan Allah SWT.

“PAS wajib mengambil teladan daripada Sunnah Nabawiyyah dalam sirahnya dengan menjadikan agenda perpaduan umat Islam dan mesejnya kepada seluruh umat manusia bermasyarakat majmuk. 

“Langkah ini bermula dengan perpaduan umat Islam yang memimpin dengan mengumpul semua kumpulan Islam daripada pelbagai jemaah atau parti. Kemudian disertai kumpulan bukan Islam tidak ekstrem dalam konteks masyarakat majmuk.

“Adapun kumpulan Islam itu tidak hanya PAS dan Umno sahaja tanpa Bersatu dan lain-lain. Begitulah juga tidak hanya PAS dan Bersatu sahaja tanpa Umno dan lain-lain,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS yang dimuatnaik di Facebooknya hari ini.

Menurut Abdul Hadi, penyatuan jika hanya melibatkan PAS dan Umno atau PAS dan Bersatu sahaja, tidak memenuhi ciri-ciri perpaduan umat, sebaliknya hanya bertujuan politik yang terbatas dan tidak sempurna.

Beliau berkata jika tanpa golongan bukan Islam yang tidak ekstrem pula, maka tidak terlaksana mesej Islam yang adil kepada seluruh manusia.

“Adapun kumpulan Islam yang memimpin tidak boleh terikat kepada satu-satu bangsa sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata dalam politik Malaysia masa kini penganut Islam majoritinya berbangsa Melayu dan bumiputera, maka merekalah yang berhak memimpin negara beraqidah Islamiah.

Selain itu, katanya, mereka juga berkewajipan bersatu dengan tali Allah yang pernah menyatukan bangsa Arab.

Katanya lagi, sebarang perselisihan atau pertelingkahan juga hendaklah diselesaikan dengan berpandukan kepada al-Quran dan mengikut contoh yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

“Justeru, mana-mana pihak yang menolak usaha penyatuan ini boleh dikira melampau terhadap usaha perdamaian dan akan dikeluarkan daripada pakatan perpaduan ummah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here