AMAT wajar kerajaan mendedahkan dapatan Pasukan Petugas Khas terhadap buku Tommy Thomas, kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi.
Pada masa sama beliau meminta agar 19 isu penting dalam buku ditulis Thomas yang perlu disiasat lanjut oleh agensi penguatkuasa seperti dinyatakan Perdana Menteri, perlu didedah kepada umum.
“Rakyat mahu tahu 19 perkara tersebut. Tindakan ini akan mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu hari ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguatkuasa melakukan siasatan lanjut segera ke atas Thomas berhubung kandungan yang ditulis dalam bukunya.
Perdana Menteri berkata, terdapat empat isu utama daripada 19 isu penting dalam buku yang ditulis Thomas perlu disiasat lanjut oleh agensi penguatkuasa.
Perdana Menteri menjelaskan, Pasukan Petugas Khas siasatan buku tersebut telah menemui 19 kategori melibatkan isu-isu penting sekali gus mengesan empat isu utama.
Mengulas lanjut, Mohd Puad turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana mengarahkan agensi penguatkuasa melakukan siasatan lanjut segera ke atas Thomas.
Katanya, ia keputusan yang dinanti kerana Thomas satu-satunya bekas Peguam Negara AG terlalu angkuh dan beranggapan beliau kebal.
“Jangan pula Majlis Peguam, DAP dan Rafizi (Ramli) membela Tommy Thomas walaupun kita tahu mereka sudah masuk kluster Panca Delima. Malam jadi manusia, siang jadi ular,” katanya. – Malaysiapost

