PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pembangkang ‘tersalah langkah’ apabila menggunakan mitos dan naratif banjir seolah-olah ia sesuatu yang tidak dapat ditangani selain cuba menakutkan pengundi.
Beliau berkata, taktik sama juga juga pernah digunakan pembangkang ketika pandemik Covid-19 tetapi gagal.
“Akhirnya akibat menggunakan isu bencana pandemik sebagai kempen menolak PRN Melaka, Johor dan Sarawak misalnya, pembangkang sendiri tersungkur dihukum oleh pengundi mereka sendiri.
“Pembangkang bakal berdepan ulangan kekalahan ini. Dalam keasyikan pembangkang menggunakan mitos dan naratif banjir musim tengkujuh pembangkang terperangkap dengan mitos dan naratif mereka sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika menjelang musim banjir, bukanlah bermakna ianya diadakan pada waktu bencana itu melanda negara, namun kemungkinan akan diadakan sebelum itu.
“Banjir di daerah Baling pada berlaku pada Julai lepas. Manakala banjir di Batu Pahat dan Pontian berlaku pada September. Itu pun kelibat pembangkang tidak turun ke kawasan banjir di Pulai, Sri Gading dan parlimen Iskandar Puteri.
“Justeru, ini juga membuktikan banjir boleh berlaku tidak semestinya pada musim tengkujuh dan apabila banjir berlaku sikap sebenar kelibat Ahli Parlimen tidak dirasai oleh pengundi mereka sendiri. Inilah kelemahan pembangkang yang mereka cuba tutupi dengan mitos dan naratif mereka ciptakan,” katanya.
Jelas Ahmad Zahid lagi, pembangkang juga mengetahui jika Parlimen dibubarkan, mereka dalam keadaan tidak bersedia menghadapi rakyat dan tiada mekanisne serta jentera untuk membolehkan bergerak dengan berkesan.
“Mereka sedar walaupun Parlimen bubar, Perdana Menteri ‘care taker’ ialah daripada Umno dan BN yang bakal menjalankan fungsi sebagai kerajaan sementara. Bermakna Perdana Menteri BN masih berkuasa sehingga kerajaan baharu dibentuk.
“Perdana Menteri ‘care taker’ inilah melaksanakan tugasan rasmi rutin untuk memastikan kerajaan terus berfungsi. Dari segi kuasa dan kawalan banjir Perdana Menteri masih ada kuasa dan sukar pula pembangkang menonjol peranan mereka apabila musim tengkujuh. Ini menyebabkan pembangkang berasa sangat terkesan,” katanya.
Tambahnya, akibat pengaruh Pakatan Harapan (PH) dan musuh BN kalangan pengundi Melayu semakin merosot, maka mereka mahu berusaha melengah-lengahkan pilihan raya agar diadakan tahun depan.
“Jelajah pembangkang pula dijangka hanya berakhir pada Februari tahun depan. Jadi, pembangkang percaya semakin dilengahkan pilihan raya maka peratus kemerosotan mereka akan dapat dibaiki dan semakin naik populariti mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak kira apa yang berlaku Umno akan sentiasa prihatin terhadap rakyat.
“Setiap jentera bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri akan turun membantu bukan sahaja masa musim tengkujuh tetapi bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Itulah kelebihan dan kekuatan Umno terletak akar umbi yang kuat yang ditakuti pembangkang dan musuh BN.
“Apabila pembangkang tidak ada kelebihan ini, usaha melengahkan pilihan raya umum terus dilakukan. Maka, janganlah kita terpedaya tipu daya pembangkang yang masih cuba bina mitos dan naratif yang lemah dan dangkal,” katanya. – Malaysiapost

