TIADA individu atau mana-mana pihak yang boleh memperakukan diri dan mengamal sebagai seorang pakar perubatan dalam sesuatu bidang jika tidak berada dalam Daftar Perubatan Majlis Perubatan Malaysia (MPM).
Presiden MPM Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kesemua pendaftaran pakar perlu menjalani penilaian oleh jawatankuasa khas dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
“Selaras Seksyen 14C Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012), seseorang berhak untuk didaftarkan dan mengamal sebagai pakar dalam sesuatu bidang kepakaran di dalam Daftar Perubatan MPM, sekiranya memenuhi syarat-syarat yang terkandung di dalam Seksyen 14B Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).
“Syarat utama perlu berdaftar penuh dengan MPM, mempunyai kelayakan kepakaran diiktiraf, menghadiri latihan kepakaran dalam bidang kepakaran di institusi diiktiraf, dan membuktikan bahawa dia adalah layak dan mempunyai akhlak yang baik.
“Kesemua pendaftaran pakar perlu menjalani penilaian oleh jawatankuasa khas MPM yang akan meneliti kesemua syarat-syarat berkenaan sebelum seseorang pengamal diperakui sebagai pakar perubatan dan dapat mengamal di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Kesihatan, berkata bagi tujuan verifikasi atau penyemakan status doktor perubatan atau pakar perubatan, semakan boleh dibuat melalui laman web MPM iaitu www.mmc.gov.my di bawah pautan Search Medical Register dan National Specialist Register.
“Tujuan MPM menyediakan kemudahan dalam talian ini adalah bagi membantu orang awam dalam memilih hanya pengamal perubatan dan pakar perubatan yang bertauliah sahaja memberi perkhidmatan kesihatan dan rawatan perubatan di negara ini, termasuk dalam hal rujukan perkara berkaitan perubatan dan kesihatan awam.
“Dengan ini, dinasihatkan agar orang awam tidak terkeliru atau terpedaya dengan dakwaan mana-mana pihak yang mengaku diri mereka sebagai seorang pengamal perubatan atau pakar perubatan berdaftar di Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

