Kes pengkid pakai ihram dah selesai

0
3

KES wanita yang tular di media sosial kerana berpakaian ihram seperti lelaki di Makkah, dilaporkan sudah selesai dengan individu berkenaan menghadiri sesi kaunseling.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin, berkata wanita berperwatakan lelaki atau ‘pengkid’ itu tampil bersama ibu bapanya di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Perak Tengah, Seri Iskandar.

“Kes sudah selesai hampir sebulan lalu selepas pihak kita mengambil keterangan serta semua maklumat berkaitan dengan kehadiran bersama ibu serta bapanya. Alhamdulillah mereka berikan kerjasama amat baik.

“Wanita itu sudah selesai berikan kenyataannya kepada kita. Insya-Allah kita ada cara tersendiri bagaimana hendak menangani kes seumpama ini,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Karnival Pendidikan Islam Sepanjang Hayat Negeri Perak (K-PISH) di Dewan Institut Tadbiran Islam Negeri Perak (INTIM), di Ipoh, hari ini.

Ditanya mengenai tindakan susulan terhadap wanita berkenaan, Mohd Yusop berkata, JAIPk menggunakan pendekatan tersendiri antaranya membabitkan sesi kaunseling.

“Tidak semestinya dalam kita mencegah sesuatu, ia perlu bersifat suatu hukuman, tangkap, apatah lagi mendera kerana ada kaedah lain yang boleh kita buat tambahan pula dia dan keluarganya berikan kerjasama sangat baik dengan datang sendiri kepada kita.

“Mudah-mudahan dia sedar kesilapan yang dilakukannya serta insaf. Pada saya jika dia tidak insaf dan rasa bersalah, dia takkan datang pun kepada kita sebaliknya mereka datang dengan sukarela,” katanya.

Kes berkenaan tular Ogos lalu apabila wanita berkenaan yang berada di Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki dan didakwa menggunakan visa pelancong dan bukan menerusi khidmat agensi umrah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here