PERUNTUKAN sebanyak lebih RM100,000 disalurkan Kerajaan Pahang sebagai Bantuan Prihatin Siswa/Siswi di daerah Lipis dalam usaha membangunkan modal insan menerusi pendidikan.
Timbalan Menteri I, Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata penyaluran peruntukan itu juga membuktikan kerajaan negeri komited dalam menyediakan tenaga kerja berilmu dan berkemahiran untuk negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis, berkata pendidikan adalah aspek yang paling penting untuk mengubah individu, keluarga, kaum dan masyarakat.
“Sebab itulah kerajaan telah meletakkan aspek pendidikan sebagai agenda utama negara menerusi peruntukan tertinggi sebanyak RM67 billion dalam Bajet 2022”, katanya selepas menyampaikan sumbangan Bantuan Prihatin Siswa/Siswi Negeri Pahang, di Lipis hari ini.
Pada majlis itu, seramai 509 penerima menerima sumbangan berjumlah RM200 setiap seorang terdiri daripada siswa dan siswi yang ditawarkan tempat untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi seluruh negara.
Abdul Rahman berkata, peruntukan itu adalah hasil kecekapan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy yang mentadbir kerajaan negeri dengan cekap dan berintegriti, sekaligus mampu meningkatkan kutipan hasil hampir RM1 bilion tahun ini.
“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Wan Rosdi kerana senantiasa meletakkan hal ehwal kebajikan rakyat Pahang sebagai keutamaan dalam kepimpinan beliau.
“Saya menaruh keyakinan agar kerajaan ini diberikan semula mandat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk memimpin dan Insya-Allah lebih banyak perancangan pembangunan dan kebajikan rakyat mampu dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman turut menasihati siswa dan siswi yang menerima sumbangan agar memanfaatkan bantuan bagi perbelanjaan untuk peningkatan akademik serta menjadi siswa dan siswi yang cemerlang.
“Siswa dan Siswi hari ini adalah pemimpin masa hadapan negeri dan negara. Saya berharap dengan bantuan ini mampu untuk meringankan beban siswa dan siswi di institusi masing-masing.
“Selain itu, pelbagai bantuan dan inisiatif lain akan diberikan berdasarkan kepada keperluan dan kemampuan kerajaan,” katanya.
Abd Rahman turut berharap pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini akan memberikan lebih banyak peruntukan untuk mahasiswa dan belia memandangkan kedua-duanya adalah aset masa hadapan negara. – Malaysiapost

