Tiada konspirasi rosakkan reputasi Ebit Lew

0
2

SAKSI pendakwaan bagi kes gangguan seksual membabitkan pendakwah Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom, hari ini memberitahu tidak wujud sebarang konspirasi antara beliau dan pendakwah bebas, Firdaus Wong dalam kes itu.

Memetik laporan Berita Harian, pakar motivasi Mohd Fairuz Abu, 37, turut tidak bersetuju bahawa sebarang hantaran media sosial berkaitan isu itu serta pertemuan dengan pengadu di Bukit Aman pada 7 Ogos 2021 adalah bertujuan merosakkan reputasi tertuduh.

“Saya tidak bersetuju,” katanya ketika ditanya peguam Ram Singh yang mewakili mewakili Ebit Lew,

Mohd Fairuz berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pada sesi pemeriksaan balas pada perbicaraan kes gangguan seksual hari kedua membabitkan Ebit yang menghadapi 11 pertuduhan.

Ditanya sama ada beliau masih menyiarkan isu terbabit di media sosial selepas pengadu membuat laporan polis, Mohd Fairuz memaklumkan dia tidak berbuat demikian, namun berbeza dengan Firdaus Wong yang masih melakukannya.

“Saya tidak, Firdaus ya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria ketika sesi pemeriksaan semula meminta penjelasan Mohd Fairuz mengenai tujuannya berjumpa pengadu ketika membuat laporan di Bukit Aman.

Menurut Mohd Fairuz, pertemuan terbabit hanyalah bertujuan menemani pengadu serta suami sebagai tanda sokongan selain memberi keterangan.

“Pertemuan ini berlaku di Bukit Aman, saya menemani beliau dan suami sebagai tanda sokongan dan juga memberi keterangan kepada pihak polis,” katanya.

Terdahulu, perbicaraan hari kedua Ebit Lew ditangguhkan dan disambung semula jam 9.30 pagi esok.

Ebit atau nama penuhnya Ebit Irawan Ibrahim Lew didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan menghantar gambar dan perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here