Bukan PM, tapi DAP yang takut dengan Presiden Umno – Zahid 

0
2
Sidang media penutup Perhimpunan Agung UMNO 2020

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyelar tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob takut kepadanya selaku Presiden Umno. 

Tegas beliau, Perdana Menteri tidak perlu takut kepada Presiden Umno, berhubung Pilihan Raya Umum-15 (PRU15) kerana musyawarah sentiasa terjalin. 

Katanya, bagaimanapun DAP yang perlu gentar kepada Presiden Umno. 

“Sememangnya DAP takut kepada Presiden Umno, tetapi Perdana Menteri pula mereka tuduh takut. Inilah watak penakut yang licik, penghasut lagi mengadu domba. 

“Sedangkan hal sepatutnya diperkatakan adalah `Perdana Menteri tidak perlu takut dengan desakan DAP jangan mengadakan PRU15 sekarang’,” katanya dalam hantaran Facebook. 

DAP sebelum ini meminta Perdana Menteri  tidak takut dengan desakan Presiden Umno supaya mengadakan PRU15 pada tahun ini. 

Menurut Loke, Ismail Sabri tidak perlu takut kerana beliau adalah Perdana Menteri sebuah negara, justeru kuasa prerogatifnya lebih besar daripada Ahmad Zahid. 

“Jangan bimbang dengan ugutan Ahmad Zahid kerana (Perdana Menteri) ada (perjanjian persefahaman) MoU (Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan) dengan PH. 

“Ismail Sabri kena bertindak sebagai seorang Perdana Menteri dan bukannya pengikut parti (Umno),” katanya. 

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Ismail Sabri tidak perlu takut kepada DAP kerana beliau adalah Perdana Menteri Malaysia, sekali gus bukan bertugas menjaga kepentingan DAP yang gusar berdepan mandat rakyat 

Menurutnya, rakyat malah yakin Perdana Menteri akan bertindak sebagai seorang Perdana Menteri kepada negara dan bukannya pengikut telunjuk pemimpin DAP atau Pakatan Harapan (PH). 

“Jangan bimbang dengan ancaman DAP berhubung MoU yang penuh kepura-puraan kerana PH tidak akan pernah bersama Perdana Menteri kecuali demi muslihat tertentu. 

“Mou untuk kepentingan politik PH yang sebenarnya telah berakhir Julai lalu itu tidak akan melindungi Perdana Menteri daripada kerakusan dan kezaliman politik musuh BN,” ujarnya lagi. 

Dalam masa sama, beliau berkata kini PH secara terbuka menyerang Perdana Menteri dalam isu ekonomi selepas menolak tawaran bekerjasama berkongsi idea dengan pasukan khusus menangani inflasi. 

Beliau juga mempersoalkan tindakan PH yang menggunakan kebimbangan banjir untuk mengelak PRU15 diadakan dalam masa terdekat 

“Sudah lebih dua tahun mereka berikhtiar untuk menyekat rakyat dibenarkan menunaikan hak demokrasi mereka bagi memilih sebuah kerajaan baharu. 

“Kemungkinan banjir besar tiada siapa dapat meramalkan dengan tepat, malah Jabatan Meteorologi Malaysia baru-baru ini juga menafikan pasti banjir besar pada hujung November 2022. 

“Sekali lagi saya menegaskan kemungkinan banjir besar hujung tahun lebih menuntut PRU15 diadakan sekarang agar kebajikan rakyat diuruskan oleh sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here