PRU15: PH tanding semua kerusi di Terengganu 

0
3

PAKATAN Harapan (PH) Terengganu mengumumkan akan bertanding di semua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15). 

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata keputusan meletakkan calon di semua kerusi itu dicapai dalam mesyuarat khas parti itu, Sabtu lalu. 

Katanya, bagaimanapun pembahagian kerusi melibatkan parti komponen PH iaitu Parti Amanah, PKR dan DAP akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. 

“Mesyuarat berjalan dalam suasana penuh harmoni dan lancar memberi isyarat bahawa PH Terengganu telah sedia untuk mengatur langkah terakhir menghadapi PRU15 ini. 

“Hanya beberapa perkara kecil dan (agihan) kerusi sahaja yang perlu diselesaikan dalam waktu terdekat menjelang awal Oktober ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Raja Kamarul Bahrin turut mengumumkan barisan kepimpinan PH Terengganu yang baharu dilantik iaitu Pengerusi PKR Terengganu, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi DAP negeri, Ng Chai Hing sebagai Timbalan Pengerusi PH negeri. 

Beliau yang juga Pengerusi Amanah Terengganu berkata, mesyuarat juga bersetuju melantik Datin Faizah Ariffin sebagai Ketua Wanita PH negeri manakala jawatan Ketua Pemuda PH Terengganu pula dipimpin oleh Zamir Ghazali. 

“Mohd Hasbie Muda dipilih sebagai Pengarah Manifesto dan dengan kepimpinan baharu ini kami yakin akan dapat menjalinkan kerjasama lebih erat bersama parti komponen,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here