Malaysia-UAE tingkat perkongsian strategik

0
3

MALAYSIA dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju meningkatkan hubungan sedia ada kepada ‘Perkongsian Strategik’ antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata hubungan dua hala Malaysia -UAE terus diperkukuhkan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pelaburan dan perdagangan, tenaga boleh diperbaharui, sekuriti makanan serta minyak dan gas.

“Alhamdulillah, perdagangan antara Malaysia dan UAE telah meningkat 90.4% untuk lapan bulan pertama 2022 iaitu USD6.14 bilion (RM25.60 bilion).

“Dengan data untuk tempoh 8 bulan ini, tahun 2022 dijangka mencatatkan rekod nilai tertinggi,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di Abu Dhabi, semalam.

“Saya dan Yang Mulia Sheikh Mohamed membincangkan beberapa perkembangan arena serantau dan antarabangsa serta bertukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan bersama.

“Saya melahirkan harapan agar UAE sebagai ahli bukan tetap Majlis Keselamatan PBB yang baru memainkan peranan aktif dalam mengetengahkan isu-isu antarabangsa seperti Palestin dan Myanmar (pelarian Rohingya) dan lain-lain demi keamanan serantau,” katanya.

Malah, Ismail Sabri juga berharap hubungan persaudaraan Malaysia-UAE terus mekar dan berkekalan bagi faedah rakyat kedua-dua negara.

Terdahulu, Ismail Sabri memulakan lawatan dengan melawat Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) yang fokus utama ialah potensi kerjasama antara ADNOC dan Petronas Malaysia dalam bidang minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.

Sebelum ini, Kementerian Luar memaklumkan agenda perbincangan utama antara Ismail Sabri dan Sheikh Mohamed ialah meneroka bidang kerjasama berpotensi untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang telah lama terjalin dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan UAE.

Antara bidang tumpuan baharu ialah ekonomi digital, keselamatan makanan, pendigitalan pendidikan dan tenaga boleh diperbaharui serta penyertaan Malaysia dalam Program Legasi 5 Tahun. – Malaysiapost

Foto kredit: Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here