“TERIMA kasih Bank Negara Malaysia (BNM) dan mohon ambil tindakan tegas kepada bank-bank yang tidak kisah pasal duit kita,” kata pakar perubatan, Dr Rafidah Abdullah.
Beliau menyatakan perkara itu sebagai menghargai tindakan BNM mengarahkan institusi perbankan mengetatkan sekuriti bagi melindungi pelanggan daripada menjadi mangsa penipuan kewangan siber.
“Terima kasih BNM kerana sudah order (arah) bank-bank mengetatkan sekuriti walaupun pada saya sepatutnya dah buat lama dah pun.
“Sudah pernah BNM menyarankan dahulu tapi ya lah, kali ini nampaknya kena eja satu persatu,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Menurut Dr Rafidah lagi, ada ‘hikmah’ beliau kehilangan RM13,000 yang mana beliau juga dimaklumkan bahawa beliau mungkin tidak akan mendapat balik wang berkenaan.
“Saya tertekan ‘pishing link’ ye betul tapi terkejut saya semudah itu dia ‘register device’ lagi satu,” katanya.
Justeru, Dr Rafidah meminta supaya pihak bank segera melaksanakan arahan BNM dengan mengetatkan kawalan keselamatan termasuk hanya membenarkan satu peranti sahaja.
“BNM dah suruh ketatkan, sila buat ASAP (segera). Hanya satu peranti sahaja BNM benarkan. Kan secara logiknya pun memang sepatutnya begitu.
“BNM suruh di sini-jika ada transaksi mencurigakan, kena ada mekanisme untuk alert dan block dulu. Telefon lah tuan atau puan punya akaun itu dulu.
“(Lebih selamat) duit bawah bantal sahaja sekarang,” katanya.
Sebelum ini, Dr Rafidah memaklumkan beliau sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap CIMB Bank (CIMB) berikutan kehilangan wang simpanannya sebanyak lebih RM13,000 dalam akaun pada 19 Ogos lalu.
Semalam, BNM mengarahkan semua institusi kewangan perlu melaksanakan lima langkah tambahan bagi mengukuhkan perlindungan terhadap penipuan atau ‘scam’ kewangan.
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, langkah itu adalah peralihan daripada penggunaan kata laluan sekali saja (OTP) yang berasaskan SMS kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat.
Selain mengetatkan lagi peraturan pengesanan dan pencetus bagi menyekat transaksi berkaitan dengan penipuan kewangan; menetapkan tempoh bertenang untuk pendaftaran perkhidmatan perbankan dalam talian atau peranti selamat buat kali pertama. – Malaysiapost

