PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan pertama dengan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di Istana Presiden di Abu Dhabi, semalam.
Kementerian Luar berkata, ia merupakan pertemuan julung-julung kali antara kedua-dua pemimpin selepas pelantikan Sheikh Mohamed sebagai Presiden UAE yang baharu pada 14 Mei lalu.
“Semasa pertemuan berkenaan, Perdana Menteri dan Presiden UAE telah membincangkan agenda kerjasama serta peluang untuk perkongsian dalam ekonomi, pelaburan dan perdagangan, serta dalam tenaga boleh diperbaharui dan sekuriti makanan.
“Kedua-dua pemimpin juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa serta isu-isu berkepentingan bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi, UAE pada jam 8.25 pagi, kelmarin untuk lawatan kerja selama empat hari di negara Timur Tengah itu. – Malaysiapost

